Ahad, 10 Mac 2013

Lahad Datu: Mengapa perlu darurat?

DETIK DAILY

KUALA LUMPUR: Pihak SPR diingatkan agar tidak menggunakan alasan darurat untuk menangguhkan PRU13 kerana tragedi  di Lahad Datu diyakini mampu ditangani dengan baik oleh pasukan keselamatan.

Pengerusi Lajnah Undang-Undang PAS Pusat, Asmuni Awi berkata, sekiranya tragedi itu boleh membawa kepada pengisyiharan darurat, rakyat mungkin beranggapan ia mempunyai kaitan dengan perancangan Umno-BN.  

Menurut beliau, tambahan pula tragedi itu sudah berlarutan hampir sebulan, yang sepatutnya boleh diselesaikan dengan baik, dalam masa singkat jika ditangani dengan baik oleh kerajaan.

"Tetapi itulah sebenarnya harga yang kita bayar ekoran 'Projek IC' semasa pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad dulu. Apabila IC diberikan secara tidak senonoh, rakyat dan negaralah yang menanggung akibatnya," katanya.

Berdasarkan undang-undang, menurut Asmuni, jika diisytiharkan darurat memang boleh ditangguhkan pilihan raya, tetapi tragedi di Lahad Datu tidak mempunyai asas untuk SPR berbuat demikian di kawasan itu dan di Semporna.

"Pihak SPR tidak boleh menggunakan tragedi itu sebagai alasan tangguhkan pilihan raya. Soalnya, macam mana usaha selesaikan tragedi itu mengambil masa terlalu lama, sehingga hampir sebulan belum selesai lagi?" katanya ketika dihubungi 8 Mac lalu.

Asmuni berkata, sehingga kini, banyak pihak yang mempersoalkan perkara itu sama ada mempunyai kaitan dengan perancangan Umno-BN atau sebaliknya, tambahan pula punca sebenar tragedi itu tidak dijelaskan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak.

Katanya, Najib sepatutnya daripada awal lagi berucap secara rasmi bagi menjelaskan kepada rakyat punca sebenar pencerobohan kerana ia  amat perlu diketahui rakyat.

"Di negara lain jika berlaku kejadian seperti itu, Perdana Menteri akan segera berucap secara rasmi untuk memberitahu puncanya.

"Tidak di negara kita, ia jelas menunjukkan ketidakbijaksanaan Najib menangani tragedi itu," katanya.

Asmuni memberikan contoh tindakan bijak Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama yang segera berucap secara rasmi memberitahu berita sedih kepada seluruh rakyat negara itu tentang pembunuhan  Duta Besar Amerika di Tripoli, sebaik kejadian itu berlaku.

Beliau turut memberi contoh keadaan di Palestin yang berada dalam perang dan bahaya tetapi tidak pula ditangguhkan pilihan raya. 

"Di Vietnam pada tahun 1970-an,  walaupun negara dalam peperangan, pilihan raya presiden tidak ditangguhkan.

"Jadi apa alasan SPR  menangguhkan PRU13  disebabkan tragedi di Lahad Datu itu?

"Selesaikan masalah itu dengan baik, kenapa pula nak tangguh pilihan raya?" soalnya.

Tiada ulasan: