Ahad, 31 Mac 2013

Koh Tsu Koon jangan mengarut di penghujung kerjaya politiknya

Roketkini.com

 

KUALA LUMPUR:  Menteri di Jabatan Perdana Menteri,  Tan Sri Koh Tsu Koon disaran supaya jangan mengarut di penghujung kerjaya politiknya dengan memberi alasan tidak munasabah bagi menyokong tayangan filem berbaur perkauman, ‘Tanda Putera’.

Pada sidang media pelancaran Ubah.tv di Ibu Pejabat Kebangsaan DAP hari ini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengulas kenyataan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu yang berpendapat tayangan filem Tanda Putera secara tertutup adalah dibolehkan.

“Logik jenis apa yang dicakapkan Koh Tsu Koon?” soal Guan Eng terhadap komen beliau yang menghalalkan filem itu ditayangkan secara tertutup walaupun tayangan kepada umum tidak dibenarkan.

“Kalau begitu lain kali tayanglah filem porno secara tertutup,” ujar Guan Eng disambut gelak ketawa hadirin dan wartawan.
“Saya tahu ini adalah hari-hari terakhir kamu (Koh Tsu Koon) menjadi menteri, tapi tolonglah akhirinya dengan bercakap secara logik dan jangan mengarut,” tambahnya lagi, sambil menyebut bahawa adalah amat memalukan bagi Koh berperangai demikian.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang turut menyeru supaya jangan menimbulkan kebencian rakyat berdasarkan satu fitnah, merujuk kepada filem Tanda Putera yang dianggap sebagai sebuah filem propaganda mengenai peristiwa 13 Mei dan bertujuan meniup api perkauman oleh parti pemerintah.

Berucap merasmikan Ubah.tv, saluran televisyen ‘online’ parti DAP, Guan Eng berkata rakyat mesti membuat pilihan pada pilihan raya akan datang secara bermaklumat, dan mesti diberi peluang untuk mendapat maklumat yang benar dan tepat.

Kata beliau, Ubah.tv adalah usaha untuk menegakkan kebenaran dan melawan monopoli dan hegemoni UMNO yang menghina demokrasi dengan tawaran 10 minit di RTM.

“10 minit hanya boleh untuk mee segera, kita tak mahu 10 minit, kita mahu hak menjawab,” ujar beliau sambil berkata bahawa Pakatan Rakyat sudah terlalu lama difitnah dan diburukkan di media arus perdana tanpa diberi peluang untuk menjawab dan membuktikan kebenaran.

“Kebenaran pasti membebaskan kita,” ujar beliau.

Ubah.tv boleh dilayari di laman web http://ubah,tv dan boleh diikuti di laman sosial Twitter melalui @UbahTV. – Roketkini.com

Tiada ulasan: