Oleh Aisha Geoffrey
KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diingatkan supaya telus melaksanakan cadangan teks khutbah khas berkaitan pilihan raya, kata Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan KEADILAN, Ahmad Kassim.
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang mahu mengkaji cadangan supaya diadakan teks khutbah khas berkaitan pilihan raya di semua masjid seluruh negara pada Jumaat terakhir sebelum hari pengundian.
“Kita mahu janji dan jaminan Pengerusi SPR bahawa teks itu tidak akan berat sebelah dan memihak kepada mana-mana parti,” kata Ahli Parlimen Kuala Kedah itu ketika dihubungi.
Menurutnya, bagi memastikan ketelusan teks itu, ia perlu diagih kepada pimpinan Pakatan Rakyat untuk dinilai sebelum ia dibaca.
“Ramai di kalangan pemimpin Pakatan yang ada kepakaran dan kemampuan untuk membaca dan menilai teks khutbah. Ia patut diberi kepada kita sebelum diedar kepada masjid-masjid. Jika berlaku bias dan hanya diketahui selepas dibacakan, sudah tidak bermakna,” katanya.
Ahmad berkata, teks khutbah itu perlu hanya mengandungi nasihat tentang tanggungjawab rakyat untuk mengundi, memilih kerajaan yang dirasakan baik dan kaedah membuang undi.
“Bagaimanapun, kita menyambut baik cadangan itu kerana ia mengingatkan tanggungjawab rakyat untuk mengundi dan paling penting ia relevan dengan isu semasa dan masyarakat setempat,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan