SUBANG JAYA : Sumbangan besar perajurit negara, Allahyarham Supritendan Ibrahim Lebar, 52, dari Cawangan Khas Bukit Aman, yang gugur ketika mempertahankan keselamatan negara di Lahad Datu, Sabah mendapat perhatian Kerajaan Selangor.
Kerajaan Negeri menyumbangkan RM 20,000 kepada keluarga Allahyarham pada satu lawatan kepada kediaman isterinya Rusiah Dahlan di USJ9, Subang Jaya, hari ini.
Sumbangan itu diserahkan oleh Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail dan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok Suh Sim.
Turut serta bersama rombongan wakil Kerajaan Negeri, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua.
Bantuan tersebut adalah peruntukan daripada Tabung Wira Rakyat Selangor yang berjumlah RM 10 juta yang diumumkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi membantu ahli keluarga anggota keselamatan yang gugur semasa mempertahankan negara.
Rodziah ketika ditemui berkata, lawatan hari ini bertujuan menyampaikan hasrat Kerajaan Negeri yang ingin membantu Rusiah yang mempunyai tiga orang anak yang masih dalam peringkat pengajian tinggi.
“Saya bersyukur sesi lawatan ini dan dapati keluarga arwah begitu tenang, tabah dan juga menerimanya dengan keadaan begitu baik dan saya doakan keluarga terutamanya isteri Puan Rusiah menjalani kehidupan yang sempurna dengan baik,” katanya.
Rodziah turut menyeru semua pihak agar sama-sama menghulurkan bantuan kepada keluarga Allahyarham secara berterusan di masa akan datang.
“Saya harap semua pihak yang sekarang ini sama-sama turun berikan bantuan dan saya harap jangan dilupakn jasa-jasa mereka dan jangan hanya isu ini hangat sahaja kita semua ambil perhatian kepada mereka,” ujarnya.
Allahyarham Ibrahim meninggalkan tiga orang anak, Amirul Shafiq, 22, Amira Shahira, 20, dan Amira Shahira, 17 dan selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Subang Jaya pada 4 Mac lalu.
Selain Ibrahim, turut terkorban ialah, Sarjan Abdul Azis Sakirun, 48, (Batalion 14 PGA) Koperal Salam Togiran, 42, (Cawangan Pengangkutan Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau) dan Lans Koperal Mohd Azrul Tukiran, 27, (Pasukan Gerakan Am PGA).
Turut terkorban Asisten Supritendan Michael Padel, 36 (Ketua Cawangan Khas Polis Daerah Semporna), Sarjan Baharin Hamid, 49, (Kontinjen Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan