Khamis, 21 Mac 2013

Kenapa tergesa-gesa tayang Tanda Putra di UIA?

MALAYSIA CHRONICLE


KUALA LUMPUR- Presiden We Unite For Islam (WUFI) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan, Abdul Muntaqim Abu Bakar mempersoalkan tindakan pihak universiti itu yang mengadakan tayangan filem Tanda Putra secara tergesa-gesa di kampus itu.

Menurut beliau, pihak universiti hanya membuat promosi selama dua hari sahaja sebelum ditayangkan pada hari ini.

"Kenapa filem kontroversi ini ditayangkan secara tertutup dan kepada pelajar dan staff UIAM Kuantan sahaja?" soal beliau kepada Harakahdaily.

Beliau yang juga turut mempersoalkan kenapa filem itu ditayangkan dalam suasana Pilihan Raya Umum (PRU) semakin hampir.

“Adakah terdapat usaha mempengaruhi mahasiswa dan staf UIAM Kuantan supaya mengundi parti tertentu dalam pilihanraya umum akan datang?” tanya beliau lagi.

UIAM Kuantan menjadi tempat ketiga ditayangkan filem kontroversi itu setelah ditayangkan sewaktu program bersama peneroka Felda pada bulan lepas dan di UIAM Gombak pada awal bulan ini.

Poster promosi tayangan menyatakan ia dianjurkan oleh Pejabat Pengarah Kampus UIAM Kuantan dan padanya terdapat lambang UIAM beserta lambang Persona Pictures.

Katanya lagi, berbeza dengan tayangan di UIAM Gombak yang meminta setiap kolej kediaman menghantar enam orang mahasiswa dan pelajar kor Sukarelawan Siswa Polis (Suksis) serta Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Udara diwajibkan hadir, tayangan di UIAM Kuantan pula hanya berbentuk 'jemputan' sahaja.

"Setakat ini tidak ada sebarang penerangan apakah sebab filem itu ditayangkan dan tidak ada pemberitahuan sama ada diadakan sesi penerangan atau dialog selepas tayangan itu," jelasnya.

Beliau berkeyakinan pelajar UIAM Kuantan sudah cukup matang untuk menilai filem kontroversi itu dengan hujah dan fakta yang jelas dan mampu meneruskan momentum perubahan sehinggalah pilihan raya akan datang.-harakahdaily

Tiada ulasan: