Rabu, 27 Mac 2013

Jambatan retak: Pemuda buat laporan SPRM

Harakahdaily,



KOTA BHARU: Mengambil kira kepentingan orang ramai, Pemuda PAS Kelantan hari ini tampil membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan isu jambatan retak.

Laporan itu dibuat Ketua Pemuda PAS Kota Bharu, Zuhairi Ismail di pejabat SPRM negeri di Lundang kira-kira jam 2.30 petang tadi.

Hadir sama Ketua Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latiff Abd Rahman, Ketua Penerangan, Ahmad Fadhli Shaari, anggota jawatankuasanya, peguam Abdul Rashid Yah dan Presiden NGO R, Nazri Deraman.

Zuhairi berkata, laporan itu dibuat dengan mengambil kira kepentingan orang ramai dikhuatiri boleh berlaku sesuatu terhadap pengguna jalan raya sekiranya tiada langkah segera diambil.

“Ini kerana keretakan itu dilaporkan berlaku di bahagian sambungan laluan bertingkat berdekatan KB Mall yang agak mengusarkan orang ramai,” katanya di sini.

Baru-baru ini Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerjaraya, Utiliti dan Alam Sekitar, Datuk Mejar (B) Md Anizam Abd Rahman mendedahkan jambatan itu berlaku keretakan di bahagian penyambungan.

Katanya, keretakan tersebut dapat dilihat dengan mata kasar iaitu 1.2 milimeter berlaku di penyambungan di kawasan jajaran jambatan baru menghala ke Wakaf Siku.

Menurutnya, keretakan berkenaan boleh melibatkan keselamatan orang awam sekiranya tidak ditangani segera.

Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) juga mengakui ada keretakan pada sambungan di laluan bertingkat berhampiran KB Mall.

Ketua Penolong Pengarah Teknikal JPP, Ir Mohd Zaki Mohd Zain dilaporkan berkata, kerosakan itu telah dikenal pasti jurutera yang ditugas dalam kumpulan audit.

“Jambatan itu bukan retak tetapi dari segi kejuruteraan dipanggil hair line crash iaitu keretakan halus berpunca kerja-kerja konkrit dilakukan,” katanya.

Tiada ulasan: