Selasa, 12 Mac 2013

Insentif penjawat awam hanya akan ‘terasa’ apabila PR memerintah, kata Mahfuz

Oleh Mohd Farhan Darwis

KUALA LUMPUR, — Insentif yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk penjawat awam semalam hanya akan dinikmati oleh golongan tersebut apabila Pakatan Rakyat (PR) berjaya menawan Putrajaya dan melaksanakan manifesto , kata Datuk Mahfuz Omar (gambar).

Naib Presiden PAS itu berkata, perkara itu disebabkan pendapatan boleh guna rakyat yang semakin meningkat selepas kerajaan PR berjaya melaksanakan segala janji-janji manifesto selepas mengambil alih Putrajaya apabila memenangi pilihan raya umum.

Antara janji manifesto PR, “Pakatan Harapan Rakyat” adalah memansuhkan tol, penurunan harga minyak, pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kajian semula tarif elektrik, pemansuhan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan banyak lagi.

“Kenaikan itu tidak beri manfaat besar kepada kakitangan sektor awam jika manifesto PR tidak dapat dilaksanakan ... dengan penurunan harga minyak, mansuh tol, kajian semula tarif elektrik, pendidikan percuma dengan mansuh PTPTN, dengan AES yang akan dimansuhkan serta GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) yang pasti tidak akan dilaksanakan, barulah kenaikan itu akan beri lebihan dalam poket penjawat awam,” kata Mahfuz kepada The Malaysian Insider.

“Kalau kenaikan itu dibuat, sedangkan selepas pilihan raya umum, minyak naik, tol naik, elektrik naik, AES akan dilaksanakan, GST akan dikenakan ... apalah yang ada,” katanya, dan menambah kakitangan awam seharusnya berpandangan jauh untuk memastikan PR dapat berkuasa dan menjamin kesejahteraan penjawat awam.

Malah, Mahfuz turut memberi jaminan, skim yang diumumkan Najib semalam itu juga bukan sahaja akan diteruskan, tetapi akan ditambah baik agar selari dengan bebanan kos sara hidup ditanggung penjawat awam.

“PR beri jaminan kepada kakitangan awam, polis, dan tentera, kenaikan itu tidak akan ditarik balik, malah akan disempurna dan diteruskan bila PR ambil alih Putrajaya.

“Malah, PR berjanji semakan yang berkala akan ditentukan tempohnya dan semakan akan dibuat semasa ke semasa bagi menjamin gaji penjawat awam, berpadanan dengan keadaan tuntutan semasa, seperti inflasi, untuk pastikan mereka tidak terbeban kos sara hidup,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan kenaikan gred gaji bagi mereka yang berkhidmat dalam pasukan keselamatan untuk disetarakan dengan perkhidmatan awam lain dalam sistem saraan baru yang digelar Sistem Saraan Transformatif (SST) yang meningkatkan perbelanjaan sebanyak RM1.5 bilion.

Najib berkata, penyelarasan gaji itu berkuat kuasa 1 Januari 2013 dan melibatkan 102,434 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 131,904 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) manakala bagi penjawat awam lain, kenaikan gaji antara RM80 dan RM320 sebulan akan bermula pada 1 Julai.

Tiada ulasan: