Khamis, 28 Mac 2013

Ibrahim Ali akan pertahan kerusi Pasir Mas

 
Bagaimanapun, beliau belum memutuskan untuk bekerjasama dengan Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat untuk mempertahankan kerusi parlimen itu. 



PETALING JAYA: Ahli Parlimen Bebas Datuk Ibrahim Ali akan mempertahankan kerusi Pasir Mas yang dimenanginya dalam pilihan raya umum (PRU) ke 12 tahun 2008.

“Saya akan mempertahankan kerusi saya,” kata beliau yang turut mengetuai Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) ketika ditanya mengenai persediaannya untuk PRU ke 13 yang akan berlangsung pada tahun ini.

Dalam PRU ke 11 yang berlangsung pada tahun 2004, ahli politik veteran itu kalah dalam pertandingan tiga penjuru.

Ibrahim hanya memperolehi 6,198 undi berbanding dengan Datuk Abdul Rahim Ab Rahman dari Umno yang memperoleh 16,275 undi.

Kerusi tersebut dimenangi Ismail Noh dari PAS dengan majoriti undi sebanyak 1,251 undi. Ismail memperoleh 17,526 undi.

Dalam PRU yang lalu, atas tiket PAS Ibrahim menewaskan calon Umno, Ahmed Rasdi Mahmed. Beliau memperoleh 28,673 undi untuk memenangi kerusi Pasir Mas dengan majoriti 8,991 undi. Kejayaan itu diperoleh setelah mencapai kata sepakat dengan PAS.

Ketika ditanya samada beliau akan mencapai kata sepakat dengan Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat, Ibrahim berkata beliau akan hanya membuat keputusan sedemikian setelah Parlimen dibubarkan.
Sementara itu, PAS menolak sebarang kemungkinan untuk mengadakan perjanjian dengan Ibrahim buat kali ini setelah Ibrahim mengisytiharkan dirinya ahli parlimen bebas.

“Adakah anda berjenaka? Calon PAS untuk Pasir Mas sudahpun disenaraipendek dan akan diumumkan tidak lama lagi,” kata ketua pengarah pilihanraya PAS Pusat, Dr Hatta Ramli ketika dihubungi.

Hatta yang juga merupakan ahli Parlimen Kuala Krai menambah bahawa Ibrahim boleh mempertahankan kerusi Pasir Mas dengan memilih untuk bekerjasama dengan BN.

Tiada ulasan: