Selasa, 26 Mac 2013

Hilangnya tiga butir permata ummah

Nasrudin Hassan,
 
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan takziah kepada keluarga tiga orang ulama’ besar di negara ini yang telah menghembuskan nafas mereka semalam. Tiga orang ulama’ terbabit adalah Tuan Guru Haji Ali Kedah, Tuan Guru Hj Muhammad Abdullah- Ketua Dewan Ulama’ PAS Negeri Kedah dan Dr Uthman El Muhammady, Tokoh Maal Hijrah 2005.

Tarikh 25 Mac 2013 tidak mungkin dapat dilupakan dalam lipatan sejarah ekoran kembalinya ketiga-tiga ulama’ tersebut ke rahmatullah. Ketika umat Islam merasa pilu dengan syahidnya ulama’ besar dunia, Almarhum As Syahid Syeikh Dr Sa'id Ramadhan Al-Buti yang mati dibunuh di Masjid Iman, Dimasyq, Syria beberapa hari yang lepas, negara ini pula kehilangan serentak ketiga-tiga ulama’.

Bagi DPPM, pemergian ketiga-tiga ulama’ ke rahmatullah merupakan suatu kehilangan besar kepada umat Islam dan negara ini. Hilangnya ulama’ bererti hilangnya cahaya yang akan memandu ummah ke jalan yang diredhai Allah SWT.

Tuan Guru Haji Ali adalah seorang ulama’ ternama yang sering menyampaikan ilmunya di kawasan sekitar Kedah. Dengan ilmunya, beliau menjadi insan yang disegani oleh masyarakat dan hasil didikan beliau telah melahirkan ribuan pemimpin masyarakat.

Umat Islam khususnya di negeri Kedah juga menangisi pemergian Almarhum Tuan Guru Haji Muhammad Abdullah, Ketua Dewan Ulama’ PAS Negeri Kedah ke rahmatullah semalam. Selain memimpin Dewan Ulama’ PAS Kedah, beliau juga adalah mudir bagi pusat ilmu terkenal di Kedah iaitu Sekolah Menengah Agama Makarimul Akhlak Langgar, Alor Setar.

Sebagai pemimpin gerakan Islam, beliau gigih, istiqomah dan sabar dalam menghadapi pelbagai ujian yang melanda. Dengan pengalaman luas beliau sebagai pemimpin PAS Kedah, menjadikan gerakan Islam terutama di negeri Kedah semakin diterima masyarakat. Sehingga kini, PAS menjadi semakin berkembang manakala ahli-ahli PAS semakin bertambah. Beliau adalah segelintir pemimpin PAS yang awal bergelumang bersama-sama Presiden PAS, Almarhum Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor membina landskap politik sehingga menjadi begitu berpengaruh di negeri tersebut. Kehilangan beliau amat dirasai dan sukar bagi PAS mencari ganti kepemimpinan seperti almarhum.

Selain beliau, negara juga dikejutkan dengan pemergian almarhum Dr Uthman El Muhammadi petang semalam. Dengan keluasan ilmunya, beliau pernah dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 2005, menjadi intelektual Islam puluhan tahun serta menghasilkan ratusan penulisan yang menjadi rujukan penting umat Islam. Dengan jasa dan sumbangan beliau yang terlalu besar terhadap dunia Islam, wajarlah kerajaan mengangkat beliau sebagai insan ulama’ yang disegani dan dihormati di rantau Asia.

DPPM mendoakan semoga roh almarhum ketiga-tiga ulama’ besar tersebut ditempatkan disisi Allah sebagai insan soleh jua. DPPM juga mengharapkan semoga keluarga almarhum tabah dan sabar menghadapi ujian yang melanda.
Nasrudin Hassan,
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Tiada ulasan: