Isnin, 4 Mac 2013

Dr M: Perbuatan kumpulan bersenjata tak ikut ajaran Islam

Bernama


 
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan perbuatan kumpulan penceroboh bersenjata di Lahad Datu dan Semporna, Sabah sebagai bertentangan dengan ajaran Islam.

Beliau berkata kumpulan itu bertindak ganas sehingga menyebabkan pertumpahan darah dan kehilangan nyawa lapan anggota pasukan keselamatan negara dalam dua kejadian berasingan di kedua-dua lokasi serangan itu.

"Kita cuba nak selesaikan perkara ini tanpa pertumpahan darah, tetapi kita dapati orang Sulu ini ganas, mereka bukan sahaja membunuh askar kita tetapi cederakan orang yang sudah mati.

"Kononnya mereka orang Islam tetapi perbuatan mereka tidak mengikut kehendak agama Islam," katanya kepada pemberita selepas merasmikan 'Global Muslim Conference on Unity and Economy' anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (MCCM) di Kuala Lumpur hari ini.

Dr Mahathir berkata kerajaan perlu mengambil tindakan segera supaya dapat mengalahkan kumpulan penceroboh itu dan menghadapkan mereka ke mahkamah kerana membunuh.

Beliau juga khuatir situasi akan menjadi lebih buruk kerana kumpulan penceroboh ini akan tetap meneruskan keganasan mereka secara berpanjangan walaupun akan kalah dalam pertempuran.

"Saya khuatir apabila kita lihat apa yang berlaku di Filipina, bila ada pemberontakan daripada rakyat mereka, ia berpanjangan dan tidak mudah dihentikan.

"Sebab itu saya harap kerajaan akan mengambil tindakan yang keras dan tegas supaya tidak berlarutan," katanya sambil mengucapkan takziah kepada keluarga anggota pasukan keselamatan yang terkorban dalam insiden itu.

Sementara itu Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan meminta kerajaan Malaysia menamatkan segera pencerobohan bersenjata itu yang sama sekali tidak menghargai nyawa pasukan keselamatan negara.

"Lapan nyawa sudah terlalu ramai bagi Malaysia. Malaysia negara yang aman damai dan menghargai setiap nyawa. Penceroboh bersenjata berkenaan tidak mempunyai sebarang belas kasihan dan tidak tahu menghargai nyawa manusia. Mungkin bagi penceroboh korban lapan nyawa masih terlalu kecil.

"Umno berdoa supaya tidak ada lagi kemalangan jiwa ekoran tragedi pencerobohan itu selepas ini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan delegasi 11 anggota Pergerakan Belia Malaysia-Palestin dari Gaza di Menara Datuk Onn di ibu negara.

Sementara itu di SEMPORNA, penduduk tempatan terutamanya yang bergantung hidup dalam industri pelancongan berharap konflik bersenjata itu dapat ditamatkan segera kerana kejadian itu menjejaskan pendapatan mereka.

Mahlul Abas, 45, berkata konflik bersenjata yang berlarutan hampir sebulan itu ternyata menjejaskan industri pelancongan terutama di Semporna yang terkenal dalam menguruskan pelancong dari dalam dan luar negara ke Pulau Sipadan dan Pulau Mabul.

"Setiap tahun Semporna menerima pelancong kira-kira 50,000 orang jadi apabila berlaku konflik bersenjata ini ia ternyata menjejaskan mata pencarian kami," katanya.

Beliau yang mengusahakan agensi bot dan kemudahan menyelam kepada pelancong mengakui sukar menjalankan perniagaan secara aman kerana sentiasa perlu mengutamakan keselamatan dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak diserang penceroboh.

Siti Salwa Hassan, 49, berkata, beliau kini terpaksa berpindah sementara ke rumah saudara selepas kejadian serangan berbalas tembakan malam kelmarin dan akan hanya pulang ke rumah setelah keadaan pulih sepenuhnya.

Dalam pada itu, Bernama difahamkan penduduk tempatan, kesemua sekolah di daerah Semporna diarah tutup sejak Jumaat lepas, sejak konflik tercetus.

Seorang pelajar Mohd Nusairi Umar, 17, berkata dia tidak dapat hadir ke sekolah disebabkan keadaan semakin membimbangkan.

"Saya tidak pergi ke sekolah hari ini sebab sekolah sudah ditutup, lagipun bas sekolah pun tiada, jadi bagaimana mahu saya ke sekolah," katanya.-Bernama

Tiada ulasan: