Selasa, 26 Mac 2013

Dedah Identiti Kumpulan Rancang Huru Hara Pilihanraya

Editor BULETIN

http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita17/Ust%20Riduan.jpgSuruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof telah mengesan usaha yang dirancang pihak tertentu untuk menimbulkan kekecohan di tempat mengundi di dalam pilihanraya umum ke 13.

Menurut nota yang diterima oleh Tan Sri Abdul Aziz, kumpulan terbabit merancang supaya petugas mahupun pengundi persoalkan status kertas undi dan mendesak diberi kertas undi lain dan jika tidak dilayan, petugas atau pengundi tersebut akan menjerit di tempat mengundi untuk tarik perhatian ramai dan media.

Tambahan pula, kumpulan tersebut turut menghasut pengundi dengan mendakwa dakwat kekal yang akan digunakan sebagai tidak halal.

Nota yang diterima oleh Tan Sri Abdul Aziz agak pelik dan belum pernah diketahui sumbernya. Pastinya ia bukan dari Pakatan Rakyat kerana PR tidak pernah merancang tindakan sedemikian.

Bagi PR, mempersoalkan status halal dakwat kekal bukan menjadi isu sekarang ini kerana PR sendiri mahukan dakwat kekal digunakan. PR juga akur dengan pandangan ulama’ bahawa penggunaan dakwat kekal dibenarkan syarak.  Jika bukan PR, dari mana sumbernya dan dari kumpulan mana mereka ini?

Apakah kumpulan tersebut merancang supaya pilihan raya umum ke 13 menjadi kecoh, supaya dengan itu proses pilihan raya umum ke 13 tergendala dan akan mengakibatkan kesan kepada keputusan pilihan raya? Benarkah dakwaan tersebut atau suatu alasan perlu direka supaya rakyat jangan membantah apa sahaja proses pilihanraya yang dijalankan, termasuk jika ada kertas undi yang meragukan ataupun daftar pemilih yang mencurigakan?

Jika begitulah modus operandi kumpulan tersebut, Tan Sri Abdul Aziz perlu mendedahkan siapa pihak tersebut segera supaya mereka tidak berani melakukannya. Ia juga akan mengesahkan identiti mereka supaya diketahui umum sebelum mereka benar-benar bertindak. Ia juga dapat memastikan perancangan kumpulan terbabit dapat dipatahkan lebih awal, agar kekecohan semasa hari pengundian kelak tidak berlaku.

Apa yang diharapkan, SPR dapat menjalankan sistem pilihanraya di negara ini dengan penuh kelancaran tanpa sebarang insiden yang tidak diingini. Proses pilihan raya perlu dijalankan dengan penuh tertib, adab dan semua rakyat perlu menghormatinya. SPR pula menjalankan sistem pilihan raya ini dengan penuh amanah, bersih dan telus tanpa ada sebarang usaha manipulasi atau penipuan. Jika demikian, baharulah sistem pilihan raya negara ini dihormati dan disertai oleh semua pihak dengan hati yang terbuka.

RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia

Tiada ulasan: