Nurul Izzah berkata, hakikatnya pendapatan di bawah angka tersebut dapat dilihat daripada jumlah penerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) tahun ini mencecah 40 peratus jumlah penduduk negara.
"Kita ingin pastikan 40 peratus rakyat yang gajinya RM1,500 ke bawah dan telah terima BR1M dibantu kerana ramai miskin lagi.
"... sebab itu kita ingin laksanakan gaji minimum RM1,100 jika kita diberi peluang ambil alih Putrajaya nanti," katanya pada Ceramah Perdana Manifesto Rakyat Wilayah Persekutuan di Kelab Sultan Sulaiman, malam tadi.
Dalam pada itu, kegagalan kerajaan mengutip kembali pinjaman pelajaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) antara sebab Pakatan Rakyat mahu melaksanakan pendidikan percuma.
"Kita hadapi RM30 bilion PTPTN, kerajaan hanya mampu kutip RM2 bilion saja.
"... sebab apa? Kertas perjanjian bila kena hujan koyak, jadi sukar nak cari balik mereka yang meminjam, inilah kelemahan sistem ini sejak 1997 diperkenalkan," dakwanya.
Sementara itu, seorang lagi Naib Presiden, Tian Chua mengulangi pendiriannya bahawa beliau tidak pernah sesekali menghina dan memperlekeh pengorbanan pasukan keselamatan dalam menangani insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.
Malah beliau yang juga Ahli Parlimen Batu berkata, Pakatan Rakyat tidak pernah mempromosikan keganasan dalam menuntut keadilan walaupun sering kali disalah anggap oleh rakyat kerana manipulasi Umno-Barisan Nasional untuk memburuk-burukkan Pakatan Rakyat (PR).
"Pernahkan kita guna kekerasan dengan kekerasan terhadap anggota keselamatan dalam banyak perhimpunan seperti Bersih dan Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKP)?
"... kami menghormati dan memahami pihak polis hanya menjalankan tugasnya, namun kami hanya kecam arahan yang diberikan kepada mereka yang tidak bermoral itu," katanya.
Tegas beliau, pihaknya tidak bermusuh dengan pihak polis, malah telah berunding dengan baik dan berhimpun dengan tertib pada HKR pada 12 Januari lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan