Khamis, 28 Mac 2013

BN yakin kekal di Negeri Sembilan

NUR SHARIEZA ISMAIL

Mohamad Hasan
Mohamad ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri, semalam, sehari sebelum Dun Negeri Sembilan terbubar secara automatik.
 
SEREMBAN –  Semalam, hari terakhir sebelum Dewan Undangan Negeri (Dun) Negeri Sembilan terbubar secara automatik hari ini, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan meletakkan keyakinan Barisan Nasional (BN) akan kembali semula untuk memerintah negeri ini selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini, bahkan dengan majoriti lebih besar.

Mohamad berkata, beliau yakin BN akan mampu mencapai majoriti dua pertiga berdasarkan graf sokongan pengundi yang dilihat lebih stabil serta memihak kepada BN kini, berbanding sebelum ini kelihatan turun naik.

"Dalam politik apa-apa boleh terjadi. Sekarang ini kita sedang mendaki dan berusaha untuk menambah supaya majoriti dua pertiga akan dapat dicapai.

“Kita bukan nak riak atau sombong, tetapi kini kita sudah lepasi garisan untuk menang. Keyakinan saya tinggi iaitu lebih 50 peratus berikutan sentimen kebelakangan ini yang memihak kepada BN," katanya.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak mahu terlalu selesa dengan situasi sekarang,  sebaliknya bersama-sama barisan pimpinan BN lain untuk terus meyakinkan rakyat agar memberi kepercayaan kepada BN terus mentadbir Negeri Sembilan.

“Itu sebabnya kita mahu berusaha dengan lebih kuat lagi bagi menyakinkan rakyat bahawa mereka perlu memilih semula kerajaan BN supaya kita dapat meneruskan kesinambungan usaha-usaha yang dibuat termasuk menyambung perancangan membangunkan negeri dan sejahterakan rakyat,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri, dekat sini, semalam.

Sementara itu, Mohamad berkata, biarpun Dun Negeri Sembilan terbubar secara automatik hari ini dan ditadbir kerajaan sementara, tetapi kesejahteraan rakyat tetap diberi keutamaan pemimpin masyarakat di setiap kawasan.

“Walaupun wakil rakyat tidak ada lagi, namun begitu mereka boleh terus menguruskan pusat khidmat Dun. Tetapi bukan menggunakan kapasiti sebagai wakil rakyat, sebaliknya kapasiti sebagai pemimpin kawasan," katanya.

Beliau berkata, kerajaan sementara kini hanya akan menguruskan urusan seharian, bukan lagi membincangkan serta memutuskan projek besar, manakala mesyuarat Exco Kerajaan Negeri tetap akan berjalan seperti biasa.

Tiada ulasan: