Selasa, 12 Mac 2013

BN sasar menang 160 kerusi Parlimen

SINAR HARIAN
Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
 
JOHOR BAHRU - Barisan Nasional (BN) berkemampuan untuk memenangi sekurang-kurangnya 160 daripada 222 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti dan mendapatkan kembali majoriti dua pertiga.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan yang juga Ketua Penerangan Umno berkata, BN juga berkemampuan merampas kembali negeri-negeri yang jatuh ke tangan pembangkang pada pilihan raya umum tahun ini.

"Selain mengekalkan 140 kerusi yang dimiliki BN pada ketika ini, kita akan ambil lima daripada 23 kerusi Parlimen Pas, 10 daripada 31 kerusi PKR dan lima daripada kerusi yang kini dimiliki oleh DAP."

"Dengan 140 kerusi Parlimen BN dan ditambah pula dengan 20 kerusi, kita berkeyakinan tinggi untuk memperolehi 160 kerusi, iaitu melebihi dua pertiga," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pada pemberita selepas merasmikan taklimat jentera penerangan BN Johor di Dewan Tan Sri Mohamed Rahmat di sini.

Beliau berkata, suasana politik negara pada ketika ini jauh berbeza berbanding menjelangnya PRU-12 pada 2008 yang lebih memihak kepada pihak pembangkang.

"Jika pada 2008 ada tsunami politik, kini tsunami itu terhenti dengan BN akan mengambil balik apa yang ia hilang pada PRU12 lepas. BN akan turun pada pilihan raya umum kali ini dengan lebih berkeyakinan," katanya.

Katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menghentikan tsunami politik yang berlaku pada 2008 menerusi pelbagai program seperti Gagasan 1Malaysia dan bantuan-bantuan kepada rakyat di bawah jenama 1Malaysia.

"Kesemua perkara ini telah menghentikan tsunami politik, jikalau kita telah berjaya menghentikannya, takanlah kita tidak boleh mendapat lebih daripada 140 kerusi Parlimen (yang kita perolehi pada PRU12)," katanya.

Namun kata Ahmad, jentera BN perlu terus bekerja-keras melakukan persiapan dan mengelak daripada melakukan "cah keting" atau sabotaj parti, sebaliknya mematuhi arahan pemimpin serta menyokong calon-calon BN. 

Mengenai negeri-negeri yang kini dipimpin oleh pembangkang, katanya, secara aturannya BN mempunyai peluang paling cerah untuk merampas kembali Kedah, diikuti Selangor, Kelantan dan terakhir, Pulau Pinang.

Mengenai sokongan masyarakat Cina terhadap BN pada PRU13 kali ini, beliau berkata, BN berkeyakinan pandangan mereka terhadap BN kali ini telah berubah berbanding pada 2008 yang mencatatkan penurunan.

Bagi masyarakat Cina katanya, mereka amat mementingkan isu-isu berkenaan ekonomi, peluang perniagaan, penjanaan kekayaan dan kestabilan politik.

Dalam perkara terbabit, Ahmad berkata, masyarakat Cina mengakui BN telah berjaya menjaga ekonomi negara negara ini dengan baik serta mewujudkan pelbagai peluang perniagaan di samping memelihara kestabilan politik.

"Saya yakin masyarakat Cina akan berubah pandangan pada pilihan raya umum kali ini," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: