Selasa, 12 Mac 2013

BN masuk zon kerajaan tak-rasmi; Najib bukan lagi PM sah

Roketkini.com

SHAH ALAM,: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mendesak Datuk Seri Najib Razak mengadakan segera Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) kerana mulai 9 Mac lalu jawatan Najib sebagai Perdana Menteri tidak lagi sah.

Beliau berkata, tempoh pentadbiran kerajaan sedia ada sudah genap lima tahun pada 8 Mac lalu dan kerajaan yang ada sekarang adalah kerajaan tak rasmi.

“9 Mac adalah tarikh mustahak kerana mulai hari itu Malaysia mempunyai Perdana Menteri yang tidak sah,” kata Lim ketika berucap pada majlis sambutan lima tahun pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor, di Shah Alam.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur mendakwa, Najib kini menjadi Perdana Menteri tanpa mandat rakyat kerana beliau tidak mengadakan pilihan raya umum untuk mendapat mandat baru selepas mengambil alih jawatan daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau berkata, semua Perdana Menteri sebelum Najib mengadakan pilihan raya umum dalam masa enam bulan ke setahun selepas memegang jawatan itu.

“Sekarang ini Najib menjadi Perdana Menteri yang paling lama tidak dipilih di Malaysia. Beliau tiada mandat daripada rakyat, takut mengadakan pilihan raya, dan takut membubar parlimen,” katanya.

Tindakan Najib, kata Lim, menyebabkan rakyat Malaysia berada dalam ‘mod’ pilihan raya sejak empat tahun lalu.

“Datuk Seri Najib catat rekod baru, bukan saja untuk diri sendiri tetapi Malaysia sudah masuk dalam Guiness Book of Record. Mana ada negara di dunia dalam mod pilihan raya selama empat tahun.

“Ini memalukan buat Malaysia,” kata Lim disambut sorakan gemuruh daripada kira-kira 5,000 hadirin.

Pilihan Raya Umum terakhir diadakan pada 8 Mac 2008, di mana BN tewas di lima negeri.

Abdullah setahun kemudian meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri – satu tindakan yang diistilahkan sebagai ‘peralihan kuasa’ pada masa itu – dan Najib selaku Timbalan Perdana Menteri menggantikan beliau bermula 4 April 2009.

Turut hadir pada majlis itu adalah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman.

Berikut adalah lima ssenarai apa yang tidak boleh dibuat oleh kerajaan tidak rasmi:

* Kerajaan tak-rasmi tidak boleh membuat sebarang keputusan dasar kecuali dalam hal yang amat penting serta perlu berbincang dengan pihak oposisi;
* Kerajaan tak-rasmi tidak boleh membuat pelantikan pegawai tinggi kecuali untuk jangka pendek saja;
* Kerajaan tak-rasmi tidak boleh membuat atau mengadakan sebarang kontrak atau tender projek besar;
* Kerajaan tak-rasmi tidak boleh mengadakan rundingan antarabangsa atau membuat lawatan rasmi ke luar negara; dan
* Kerajaan tak-rasmi tidak boleh membenarkan perkhidmatan awam terbabit dalam aktiviti pilihan raya kerana ia perlu bersikap neutral dan hanya menjadi penasihat kepada kerajaan, dan bukannya parti politik.-Roketkini.com

Tiada ulasan: