Sifat sombong itu hanya akan merugikan parti dan BN untuk meraih semula sokongan rakyat negeri itu.
SUBANG: Barisan Nasional (BN) memberi amaran kepada jenteranya supaya jangan bersikap sombong ketika berkempen Pilihan Raya Umum (PRU) nanti.
Timbalan Pengarah Pilihan Raya BN Selangor Datuk Seri Zin Mohamed berkata, sifat sombong itu hanya akan merugikan parti dan BN untuk meraih semula sokongan rakyat negeri itu.
“Kesombongan itu mesti dihapuskan. Letakkan kepentingan rakyat berbanding parti,” katanya dalam lawatan kerja ke Parlimen Subang di Bangunan Umno Subang di sini petang tadi.
Zin turut menyampaikan jaminan berbunyi empat rangkap pantun dihadapan kira-kira 100 ahli jentera BN supaya jangan lagi sombong;
‘Jangan sombong Jangan sombong
Kalau sombong tak dapat undi
Jangan sombong Jangan sombong
Kalau sombong kalah lagi’
“Kita kena berpimpin tangan berganding bahu.
“Kalau bercakap apa yang kita dapat secara individu, itu perangai lama Umno,” katanya.
Beliau berkata, pengajaran semasa PRU12 pada tahun 2008 memberi iktibar jelas kepada BN supaya jangan menimbulkan sebarang masalah ketika PRU semakin hampir.
Hal itu termasuk isu masalah dalam parti yang perlu diselesaikan segera.
“Minta bantuan saat akhir tolong jangan buat silap. Kita khuatir saat akhir begini…kita letih nak selesaikan masalah dalaman kita,” katanya.
Parlimen Subang
Sementara itu, Ahli Parlimen Sepang itu turut yakin jenteranya kini bersedia untuk merampas kembali Parlimen Subang daripada PKR.
Ini termasuk tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dibawahnya; Kota Damansara, Paya Jaras, dan Bukit Lanjan.
Ditanya tentang calon, Zin berkata pihaknya menghormati keputusan akhir Perdana Menteri menentukan calon paling layak bertanding dikawasan terbabit.
Mengakui tiada masalah perebutan kerusi, katanya siapa pun pemimpin yang akan jadi calon akan diterima dengan hati terbuka.
“Tidak ada sebab kita tak dapat menang kerusi Parlimen dan tiga Dun bawah Subang.
“Saya yakin kalau kita pulun (kerja) kuat-kuat kita akan menang,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan