Ahad, 24 Mac 2013

Bersiap sedia hadapi 1001 taktik kotor BN - Presiden PAS



Oleh TARMIZI MOHD JAM

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru seluruh ahli PAS disemua peringkat mempersiapkan diri dan jentera pilihan raya untuk menghadapi 1001 helah dan taktik kotor Umno-BN dalam PRU13 tidak lama lagi.

Tegasnya kepada Harakah, kesemua peringkat jentera pilihan raya hendaklah digerakkan pada tahap paling maksimum kerana teka teki bilakah pilihan raya tidak ada lagi, setelah tempoh tamatnya kian diketahui umum.

Dalam masa yang sama, beliau mengingatkan semua ahli PAS mesti bekerja dengan ikhlas untuk memperjuangkan Islam yang menjadi dasar perjuangan parti dengan memperkenalkan konsep "Islam Adil Untuk Semua".

PAS ujarnya, telah menjayakan konsep itu dengan ikatan Tahaluf Siasi yang terpahat diantara parti-parti pelbagai kaum dan agama dalam Pakatan Rakyat seperti yang diluluskan Majlis Syura Ulama dan Lajnah Politik PAS.

"Kita yakin dengan pertolongan Allah, kita akan mencapai kemenangan dalam pilihanraya kali ini.
Walaupun kemenangan itu tidak mudah, tetapi ianya tidak mustahil dengan pertolongan Allah," tegasnya kepada Harakah.

PRU13 kali ini, tegas Ustaz Abdul Hadi adalah peluang terbaik untuk Pakatan mencapai kemenangan dengan syarat seluruh jentera pilihan raya dan petugas parti meningkatkan usaha lebih gigih dengan segala pengorbanan.

Disamping itu, tegasnya lagi, setiap ahli PAS hendaklah memperbanyakkan munajat kepada Allah SWT untuk memohon pertolongannya.

Tiada ulasan: