Ahad, 24 Mac 2013

Bersenjatakan janji, Pakatan gempur Melayu Johor

Oleh Mohd Farhan Darwis
 Cabaran PR di Johor amat besar kerana mereka perlu memecahkan monopoli Umno dan BN daripada penduduk Melayu Johor. – Gambar fail JOHOR BARU— Pakatan Rakyat (PR) menggempur Kampung Melayu Majidee, berkempen menjelang pilihan raya malam tadi, menyerang teras Melayu bandar Johor dengan menjanjikan pendidikan percuma kepada pengundi baru kawasan tersebut, dan janji untuk mengekalkan penempatan itu kepada penyokong tradisional Umno.

Berhimpun di wilayah Melayu bersejarah di pusat bandar Johor Bahru, lebih kurang 2,000 orang telah diberi amaran oleh pemimpin-pemimpin PR kerajaan negeri mereka, diterajui oleh Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman yang didakwa “rasuah”, mempunyai rancangan untuk menjual beberapa kampung dalam penempatan tersebut untuk komisen lumayan.

Akan tetapi Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, anak kelahiran Johor yang dikatakan menjadi calon pilihan PR untuk menggantikan Abdul Ghani sebagai MB, berjanji perkara ini tidak akan berlaku di bawah pemerintahan pakatan jika ia berjaya merampas kubu Umno di Johor dalam pilihan raya akan datang.

“Dengar cerita tanah Kampung Melayu Majidee nak dijual, pemimpin Umno sedang bincang-bincang, komisennya cukup lumayan,” kata ahli parlimen Kubang Kerian itu kepada hadirin.

“Kalau Umno tak boleh pertahankan tanah orang kampung, kami PR akan selamatkan tanah tuan-tuan,” tegas Salahuddin disambut sorakan dan teriakan penyokong mereka.

“PR akan jadikan Kg Melayu sebagai Kampung Warisan Negara, Umno tak fikir ini semua ...  esok dah hilang kampung, nak buat apa, nyanyilah lagu ghazal,” kata beliau merujuk kepada lagu tradisional Melayu Johor.

Kampung Melayu Majidee adalah penempatan untuk selurang-kurangnya 10 kampung Melayu dan dikatakan mewakili suara Melayu bandar Johor, kubu kuat lama parti tunjang Barisan Nasional (BN), iaitu Umno.

Tetapi orang-orang yang hadir malam tadi kelihatan riuh dalam menunjukkan sokongan mereka untuk rentetan pemimpin PR -bergilir-gilir di pentas ceramah.

The Malaysian Insider mendapati ramai orang muda di kalangan hadirin, faktor yang tidak dilupakan oleh penceramah kerana mereka bangkit untuk sorakan lebih padu.

Pemimpin de facto PR Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan kemuncak malam tadi, dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, berjanji untuk memansuhkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) jika pembangkang berjaya merampas Putrajaya.

Selain itu, Anwar memberikan jawapan khas terhadap kritikan kerajaan persekutuan di bawah PR akan mengakibatkan kehilangan kuasa politik orang Melayu, kumpulan etnik yang paling dominan di negara ini.

“(Kalau) menang,  menanglah, tak menang takpelah, kita tawakal kepada Allah. Kita tak mungkin kekal dalam perjuangan ini kalau nak khianat Melayu,” tegas Anwar.

Walau bagaimanapun, terdapat dikalangan hadirin yang meragui retorik PR.

Seorang hadirin yang ditemui The Malaysian Insider walau bagaimanapun berkata, cabaran PR di Johor amat besar kerana mereka perlu memecahkan monopoli Umno dan BN daripada penduduk Melayu Johor jika mahu menawan negeri tersebut.

Monodon, 49, mengakui Melayu Johor lebih cenderung kepada Umno, dan kesedaran politik mereka terhadap PR amat sedikit.

“Tapi pengundi muda, ada anak- anak yang merupakan pengundi baru ... mereka ini lebih kepada PR, mereka ada maklumat daripada alternatif media,” katanya.

Di semenanjung, Johor dilihat sebagai kunci PR untuk menawan Putrajaya, diantara negeri yang tidak terkesan dengan Tsunami politik Pilihan Raya 2008.

Menjelang Pilihan Raya 2013, PR memberikan tumpuan menang di Johor termasuk secara strategiknya memindahkan pemimpin utama mereka untuk bertanding di negeri selatan tanah air itu.

Diantaranya termasuk Penasihat DAP Lim Kit Siang yang diumumkan oleh Anwar awal minggu ini bakal meninggalkan kerusi Ipoh Timur untuk bertanding di kerusi parlimen Gelang Patah.

Melayu merupakan 60 peratus daripada tiga juta populasi di Johor, yang juga penempatan kepada 74 kawasan FELDA di 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Undi Melayu FELDA sering dijadikan BN sebagai kunci utama dalam pertempuran pilihan raya, dan juga telah dikreditkan sebagai antara sebab-sebab di sebalik survival BN dalam pilihan raya umum 2008.

Dalam Pilihan Raya 2008, BN menjadi kerajaan yang kuat di Johor apabila menang 25 daripada 26 kerusi parlimen dan 50 daripada 56 kerusi DUN.

Tanpa kemenangan di Johor, BN akan kalah di tangan PR di semenanjung, dengan hanya 60 kerusi persekutuan berbanding PR yang mempunyai 79 kerusi.

Dengan mengambilkira kerusi Johor, kerusi di semenanjung antara BN dan PR adalah 85-80.

Tiada ulasan: