Selasa, 19 Mac 2013

Bekas ketua pesuruhjaya SPRM mohon maaf kepada MB Selangor di mahkamah

TERKINI
Oleh Emily Ding

KUALA LUMPUR — Bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Ahmad Said Hamdan memohon maaf kepada Tan Sri Khalid Ibrahim di atas tuduhan beliau ke atas menteri besar Selangor itu pada 2009 dalam satu siasatan rasuah.

“Saya, Datuk Seri Panglima Ahmad Said bin Hamdan (gambar), dengan ikhlas memohon maaf kepada Tan Sri Abdul Khalid bin Ibrahim, atas kenyataan saya pada 21 Februari 2009, yang disiarkan di media,” katanya membaca kenyataan maaf yang dipersetujui kedua-dua pihak semalam.

“Kenyataan yang dilakukan saya ketika itu sebagai ketua SPRM, dan ini adalah respon kepada soalan apabila ditanya oleh media mengenai siasatan SPRM ke atas Abdul Khalid,” katanya lagi.

“Saya membuat kenyataan tersebut tanpa niat jahat untuk memburukkan reputasi, imej dan intergriti plaintif.”

Dua defendan dalam kes tersebut, iaitu kerajaan persekutuan dan Ahmad Said, bersetuju permohonan maaf akan disiarkan di akhbar the New Straits Times di muka hadapan dan The Star dalam masa empat hari.

Khalid juga memperolehi kembali kos RM10,000 dari defendan.

Peguam Khalid Sankara Nair berkata sebelum hakim Mahkamah Tinggi Datuk Lau Bee Lan bahawa kliennya “merasakan namanya sudah dibersihkan sebagai menteri besar”.

Persetujuan dibuat semalam untuk menyelesaikan kes saman fitnah Khalid ke atas Ahmad Said di luar mahkamah selepas cadangan dari hakim Mahkamah Tinggi Datuk Lau Bee Lan.

Khalid memfailkan saman fitnah pada 27 April 2009 ke atas kenyataan Ahmad Said pada 20 Februari tahun yang sama, yang dilaporkan media, mengatakan SPRM mempunyai “bukti kukuh” ke atas
penyalahgunaan wang rakyat oleh Khalid dalam membaiki kereta peribadinya dan pembelian 46 ekor lembu bagi tujuan ibadah korban bernilai RM10,400 pada Hari Raya Aidiladha pada 2008.

SPRM membersihkan nama Khalid pada Februari 2010 dan beliau tidak pernah didakwa.

Ahmad Said dan Khalid bersalam tangan sebelum prosiding bermula hari ini.

Khalid yang ditemani isterinya dan beberapa orang penyokongnya, dan seorang daripadanya memakai baju bertulis “Kami sokong Khalid Ibrahim”.

Ahmad Said enggan memberi sebarang komen selepas beliau memohon maaf.

Tiada ulasan: