Ahad, 24 Mac 2013

Bekas IGP: Pertingkat risikan di perairan Sabah



 
Penambahan aset dan jumlah anggota keselamatan di Lahad Datu, Sabah mampu melindungi kawasan itu daripada dibolosi penceroboh di masa depan, kata bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan.

Beliau berkata tindakan meletakkan kawasan itu dalam kawalan keselamatan yang ketat membolehkan semua aset keselamatan ditumpukan di sana.

Ketika menyampaikan ceramah umum bertajuk "Lahad Datu: Negara Terjajah, Aqidah Tergadai, Siapa Dalang" di Klang malam tadi, Musa turut menyarankan tindakan risikan oleh pasukan penguatkuasaan dipertingkatkan di kawasan perairan Sabah bagi mengelakkan insiden pencerobohan berulang.

Katanya semasa pasukan polis marin ditempatkan di setiap pulau di Sabah, pasukan keselamatan itu turut menjalankan risikan bagi mendapatkan maklumat mengenai penceroboh.

"Tetapi apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ditubuhkan khidmat polis marin di kawasan itu dihentikan...APMM lebih bertumpu kepada perikanan, pertanian dan sebagainya tetapi kurang dalam risikan," katanya.

Dalam pada itu, Musa turut meminta semua pihak supaya menghormati dan tidak memperlekehkan segala usaha yang dilakukan oleh pasukan keselamatan dalam membanteras kumpulan militan Sulu di Lahad Datu.

"Bila rakyat menyokong, mereka akan bersemangat. Kita perlu beri kekuatan pada mereka kerana sememangnya mereka amat memerlukannya ketika ini," katanya.

Sementara itu, Musa berkata tindakan menghantar polis sebelum tentera dalam insiden pencerobohan di Lahad Datu adalah tepat kerana situasi itu turut melibatkan masalah dalaman.- Bernama

Tiada ulasan: