Seseorang artis mempunyai kredibiliti untuk memancing undi serta berkempen pada pilihan raya umum kata bekas pelakon dan pelawak, Muhammad Hakim Lokman atau Bob Lokman.

Beliau yang juga ahli PAS berkata, tanpa perlu terlalu menonjol di dalam sesebuah parti, artis itu sendiri sudah boleh menarik undi kepada parti tersebut.

NONE"Memang artis ini kredibiliti dia untuk pancing undi. Sememangnya, dia dah masuk (politik) sebagai artis tak perlu nak tonjol sikap pandai berpolitik, tak perlu cakap banyak, dia sendiri dah boleh pancing (undi).

"Kerja politik memang perlu orang untuk sampaikan maklumat, apa hasrat parti masing-masing... Kredibiliti saya terbukti saya memancing undi," katanya berseloroh dalam satu wacana di Shah Alam semalam.

Selain itu, bagi pengarah filem, Datuk Shuhaimi Baba (bawah), beliau berpendapat artis yang menceburkan diri dalam bidang politik mampu memberitahu orang ramai tentang tanggungjawab untuk mengundi serta mengembalikan keharmonian.

Selain itu, beliau juga berkata, tidak menjadi kesalahan jika seseorang artis dibayar untuk berkempen bagi sesebuah parti politik.

NONE"Artis boleh mainkan peranan dan kembalikan balik keseimbangan dan kurangkan kebencian. Kita mesti beritahu semua orang tanggungjawab kita untuk menunaikan hak mengundi tak kira apa pilihannya. Kalau orang itu tak sependapat dengan kita, kita perlu hormat. Itu integriti kita.

"Kalau (artis) dipanggil, dibayar untuk pancing undi, kalau itu rezeki kamu ambil sajalah. Tak perlu sorok-sorok. Itu kerja dia. Sebab itu sebahagian daripada kerja.

"Artis sekarang kalau dibayar lagi bagus. Buat apa buat kerja percuma. Kita sakit siapa nak bayar ubat kita. Bagi saya ramai artis terlibat dan lebih berminat itu juga bagus. Tapi jangan jadi patung, mulut untuk suarakan benda-benda yang tak betul, pembohongan dan penipuan. Bagi saya itu salah," katanya.

Bagi pelakon dan Presiden Persatuan Seniman, Zed Zaidi pula berkata, sekiranya artis seseorang artis terlibat dan mengadakan program dengan sesebuah parti politik, ia mesti dibayar dan kerja yang dilakukan mereka bukanlah sebuah kerja amal.

"Bagi saya kalau artis tak dibayar dalam mana-mana sahaja (parti) politik, kita buat amal. Jadi kalau kita buat amal, buat apa kita ada bakat. Kalau tak dibayar, macam mana nak cari makan?

"Bila artis pergi membantu (sesebuah parti politik) mesti ada habuan. Kalau tak ada, jangan kata buat kerana 'fisabilillah'. Saya tak percaya," katanya.