Oleh Sidiqin Omar
KOTA KINABALU: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menuntut pihak berkuasa menyiasat bukti bergambar pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Aziz Shamsuddin dengan Esmail Kiram, pimpinan Kesultanan Sulu.
“Ada bukti bergambar foto pertemuan dengan Aziz Shamsuddin, Menteri dan bekas Setiausaha politik Tun Dr Mahathir (Mohamad) yang terlibat dalam projek IC dan juga dengan Datuk Seri Najib.
“Patut ada siasatan rapi tentang hubungan mereka dengan pimpinan Umno. Tidak hanya menuding dan tohmah pemimpin pembangkang,” kata Anwar pada sidang media bersama Majlis Pimpinan KEADILAN Sabah di Hoytel Hyatt, hari ini.
Media semalam melaporkan pasukan keselamatan mengesahkan panglima tentera Sulu yang ditangkap di Semporna pada 23 Mac lalu ialah Datu Amir Bahar Hushin Kiram.
Amir Bahar anak kedua Esmail Kiram kini ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) 2012.
Polis semalam melaporkan, lelaki berusia lewat 40-an itu adalah Menteri Pertahanan Sulu yang bertindak sebagai panglima yang memberi arahan sejak pencerobohan di Lahad Datu 12 Februari lepas.
Kata Anwar, siasatan perlu dibuat kerana ia berkait dengan insiden keganasan di Lahad Datu dan projek IC yang memberi kesan terhadap keamanan di Sabah.
“Kenyataan Pakatan Rakyat jelas. Menyokong pasukan keselamatan. Tetapi kita mengingatkan, isu ini adalah isu nasional dan keselamatan negara dan tidak harus dipolitikkan,” katanya.
Gambar yang tersebar di internet dan media sosial sejak sebulan lalu menunjukkan pertemuan pemimpin Umno dengan waris Sultan Sulu yang menceroboh Lahad Datu sejak pertengahan Februari 2013.
Antara pemimpin Umno yang dirakam bersama Esmail Kiram adalah Aziz Shamsuddin, Najib Razak dan bekas Perdana Menteri, Tun Adbullah Ahmad Badawi. – SDQ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan