Selasa, 5 Mac 2013

Anwar nafi pernah jumpa Sultan Sulu

SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim ketika ditemui pada satu wawancara eksklusif di pejabatnya. - Foto Sinar Harian 
oleh SAFWAN MANSOR
 
KUALA LUMPUR - Setelah bertegas dan menafikan pembabitannya dalam insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan, beliau tidak pernah bertemu dengan Sultan Sulu, Sultan Roodinood Julaspi Kiram.

"Jika pernah bertemu pun apa masalahnya?" ujar Anwar pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Antarabangsa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) di sini, hari ini.

Mengulas mengenai perkembangan semasa di Lahad Datu, Anwar menyifatkan tindakan kerajaan segera menggunakan seluruh kekuatan yang ada dengan menurunkan pasukan tentera dan polis selaras dengan desakan perikatan pembangkang itu semalam.

"Kami tidak menentang Sulu tetapi kami menentang sekumpulan penceroboh yang bersenjata," tegas Anwar lagi.

Menurut Ketua Umum PKR itu, pihaknya tetap mahukan rundingan meja bulat antara Pakatan Rakyat (PR), Perdana Menteri, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) diadakan bagi membincangkan insiden yang sudah meragut lapan nyawa satria negara.

"Setakat ini mereka belum ada jawapan, biasalah," kata Anwar.

Anwar juga memberitahu, beliau telah ditawarkan satu wawancara khas bersama Filipina 'Inquirer News' setelah pemimpin pembangkang itu membuat penafian berhubung pembabitan dan pertemuannya dengan Sultan Sulu.

"Tawaran menemu duga saya itu berlaku pagi tadi.

"Dia prihatin kerana saya nafi saya jumpa Sultan Sulu kerana gambar mereka keluar itu sama ada saya jumpa Misuari kerana dia ingat gambar itu adalah Sultan Sulu," ujar Anwar lagi.

Tambahnya, media yang bebas dan mahu mengimbangi pemberitaan mereka malangnya tidak berlaku di Malaysia sepertimana di TV3 dan Utusan Malaysia.

TV3 dan Utusan berhadapan saman masing-masing RM100 juta jika gagal mengemukakan permohonan maaf secara terbuka berhubung dakwaan Anwar dalang insiden di Lahad Datu.

Tiada ulasan: