Isnin, 11 Mac 2013

Ambil iktibar insiden Lahad Datu - Syura PAS

Harakahdaily,


KUALA LUMPUR: Majlis Syura Ulamak PAS mahu semua pihak mengambil iktibar dengan insiden pencerobohan bersenjata yang berlaku di Sabah.

Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Majlis Syura Ulamak Datuk Nik Muhammad Zawawi Saleh mengharapkan, insiden seperti itu sebolehnya tidak lagi berlaku pada masa akan datang dan kerajaan Malaysia perlu memastikan kawalan keselamatan negara pada tahap terbaik.

"Majlis Syura Ulamak menganggap kewajipan menjaga keamanan negara adalah tanggungjawab bersama. Majlis Syura Ulamak juga menentang sebarang ancaman keselamatan yang dilakukan oleh mana-mana pihak, samaada  dari dalam mahupun luar negara.

"Majlis Syura Ulamak menyarankan agar Kerajaan Malaysia memastikan tiada lagi ancaman keselamatan terhadap rakyat dan negara di masa hadapan. Jika berlaku juga, Majlis Syura Ulamak mendesak agar tindakan diambil dengan penuh kebijaksanaan dan lebih segera, agar keselamatan rakyat dan negara terjamin," katanya.

Pencerobohan kumpulan bersenjata di Sabah sejak sebulan lalu telah menyaksikan lapan anggota polis terkorban ditangan kumpulan tersebut.

Di pihak penceroboh bersenjata itu pula, seramai 54 orang mati di tangan anggota keselamatan manakala 97 ditahan kerana disyaki terbabit.

Pasukan keselamatan turut menahan 122 orang kerana berada dalam zon larangan Operasi Daulat.

Dalam pada itu, Majlis Syura Ulamak turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga anggota polis yang terkorban dan menganggap mereka wira negara.

"Kita memandang serius peristiwa Lahad Datu dan merakamkan doa dan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa," kata Zawawi.

Tiada ulasan: