PETALING JAYA: Bekas Timbalan Panglima Angkatan Tentera Darat Malaysia, Leftenan Jeneral (B) Datuk Abdul Ghafir Abdul Hamid menggesa pimpinan politik meninggalkan kawasan operasi di Sabah bagi memberikan kebebasan kepada ketua komander operasi melaksanakan tugas.
Ini kerana, penglibatan mereka hanya akan membuatkan keadaan menjadi kelam kabut disamping mengakibatkan fokus objektif keselamatan terganggu.
Menurutnya lagi, perkara ini perlu diselesaikan segera bagi mengelakkan peningkatan jumlah korban anggota keselamatan dan orang awam semakin meningkat.
“Bukan masanya untuk ahli politik untuk masuk campur dengan operasi ini. Kita tidak sepatutnya melihat ahli politik berada di lokasi operasi dan memberikan arahan.
“Mereka sepatutnya ‘clear’ dan memberikan kebebasan kepada ketua komander untuk memimpin operasi ini,” katanya pada satu sidang media di Ibupejabat PKR hari ini.
Sehingga kini, 10 anggota keselamatan terkorban dalam insiden pencerobohan di Sabah yang bermula 12 Feb, manakala 56 pengganas ditembak mati.
Selain itu beliau mendakwa, keupayaan Bahagian Staff Perisikan Pertahanan (BSPP) yang digunakan untuk tujuan politik mengakibatkan mereka gagal mendapatkan maklumat awal sebagai persediaan menghalang kejadian ini berlaku.
“Apabila kita mengambil tindakan lambat, mereka telah bersedia. Satu kumpulan kecil menjadi besar dan mereka menyediakan pertahanan kukuh. Kerja kita menjadi sukar,” tambahnya lagi.
Tegasnya, penekanan terhadap laporan yang lebih cenderung ke arah politik berbanding isu keselamatan dikhuatiri akan mengeruhkan lagi keadaan.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mengulangi desakan pimpinan Pakatan Rakyat sebelum ini agar satu sidang khas Parlimen diadakan bagi membincangkan isu ini.
Tegasnya, Parlimen merupakan medan terbaik buat ahli politik mencari jalan penyelesaian jangka panjang agar kejadian ini tidak berulang kembali.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan