Khamis, 21 Mac 2013

ADUN PAS Kedah Menang Saman RM150,000 Ke Atas RTM


RTM diarah bayar RM150,000 kepada Adun PAS

KELAB GREENBOC
 
ALOR SETAR: Mahkamah Tinggi Kedah hari ini memutuskan Radio Televisyen Malaysia (RTM) milik kerajaan membayar tuntutan saman fitnah sebanyak RM150,000 kepada Adun Kubang Rotan (PAS) Mohd Nasir Mustafa.

Pesuruhjaya Kehakiman See Mee Chun ketika di dalam penghakiman hari ini mengarahkan dua defendan Mohd Hanafiah Hanafi dan Zakri Suid dari RTM untuk membayar ganti rugi sebanyak RM50,000.

Sementara itu, penerbit rancangan RTM 'Titik Sentuhan' Hartini Haris dan ketua pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia Datuk Norhayati Ismail pula di arah membayar sejumlah RM70,000, selain pihak defendan juga diarahkan membayar kos guaman RM30,000.

Mohd Nasir diringi penguamnnya Aminuddin Zulkifli.

Mohd Nasir telah memfailkan saman pada Mei tahun lalu ekoran rancangan “Titik Sentuhan” yang disiarkan pihak RTM pada 18 November 2011 kerana menfitnah beliau gagal menjalankan tanggungjawab dan tugas sebagai Adun di Kubang Rotan.

Dalam writ saman yang dikemukakan juga, Mohd Nasir juga menolak tuduhan mengatakan beliau mengamalkan diskriminasi pembangunan dikawasan undangannya dan mendakwa ia telah mencemarkan imejnya serta kredibilitinya.

Mohd Nasir menewaskan calon Umno, Nordin Salleh pada Pilihan Raya 2008 dengan majoriti 1,387. -HD



LAPORAN SEBELUM INI

Adun Kubang Rotan lapor polis dakwa difitnah



KUALA KEDAH, 22 Dis: Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa tampil membuat laporan polis terhadap RTM yang didakwa memfitnahnya.

Nasir membuat laporan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar dengan ditemani beberapa pegawai dan penyokongnya, semalam.

Beliau mendakwa RTM menerusi rancangan Titik Sentuhan pada 18 Disember lalu secara terancang telah melemparkan tuduhan tidak berasas terhadapnya dan kerajaan negeri berhubung isu jalan rosak di Kampung Hilir, Telok Talipon yang berada dalam Dun Kubang Rotan.

"Rancangan televisyen itu menyiarkan temubual penduduk yang menuduh saya tidak berperanan sebagai wakil rakyat serta meminggirkan mereka daripada arus pembangunan negeri.

"Bagi saya tuduhan itu adalah tidak berasas dan ianya merupakan fitnah yang terancang terhadap diri saya kerana jalan yang dimaksudkan itu telah dibaiki dengan inisiatif saya melalui kerajaan negeri,"
tegas beliau.

Menurut Nasir, pihaknya telah membuat permohonan secara bertulis kepada Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) bagi menaik taraf dan penurapan jalan-jalan di kawasan Kubang Rotan termasuk jalan di Telok Talipon itu.

"Pada Januari yang lalu, saya telah mengajukan permohonan kepada UPEN apabila aduan dan permohonan kepada pihak Koridor Utara langsung tidak mendapat maklum balas positif.

"Berdasarkan permohonan tersebut, Pejabat Daerah Kota Setar pada Julai telah mengeluarkan tender bagi membaik pulih dan menurap jalan terbabit sepanjang 1.1 kilometer dan kerja tersebut siap sepenuhnya pada 27 Julai lalu.


"Dakwaan jalan tersebut dibaiki oleh agensi kerajaan pusat seperti dalam rancangan itu adalah tidak benar dan lebih kepada fitnah terhadap saya sebagai wakil rakyat di kawasan ini dan juga fitnah terhadap kerajaan negeri," jelasnya.

Nasir yang kesal dengan fitnah itu turut menimbangkan tindakan tegas jika pihak yang terbabit dengan rancangan tersebut.

Selain itu, beliau turut mengesyaki berlakunya tuntutan bertindih terhadap kerja pembaikan jalan tersebut berdasarkan kandungan rancangan tersebut.

Sejurus laporan polis itu, Nasir turut membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malayisa (SPRM) Negeri Kedah berkaitan tuntutan bertindih.

"Kerajaan negeri yang menurap jalan itu, tetapi mereka mendakwa pihak MADA pula yang telah melakukan kerja-kerja penurapan jalan tersebut.

"Memang jalan tersebut berada di bawah pengendalian MADA, tapi kerajaan negeri mengambil inisiatif melakukan penurapan sepenuhnya setelah tiada tindakan dari pihak yang berwajib.


"Berdasarkan apa yang terkandung dalam rancangan Titik Sentuhan di TV1 tempohari, seolah-olah merekalah yang melakukan kerja-kerja tersebut dan saya syak mungkin berlaku tuntutan bertindih ke atas kerja-kerja tersebut," ujarnya.
-HD

Tiada ulasan: