SHAH ALAM : Kerajaan Negeri tidak bercadang menguatkuasakan larangan penggunaan sudut media di lobi Dewan Annex oleh orang luar sepertimana diputuskan oleh parlimen Malaysia kata, Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Datuk Teng Chang Khim.
Sebaliknya menurut Teng, sesiapa sahaja berhak mengadakan sidang media selagi mereka mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Bagaimanapun, kita menghalang sebarang bentuk demonstrasi atau bantahan yang akan menimbulkan kekecohan di sini,” katanya dalam sidang media di SUK, hari ini.
Katanya, pelaksanaan larangan di Parlimen itu disifatkan sebagai menyekat kebebasan rakyat untuk bersuara atau menyatakan pandangan mereka terhadap sesuatu perkara.
Awal November lalu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengumumkan larangan lisan penggunaan sudut sidang media di lobi parlimen oleh mereka yang bukan ahli Parlimen.
Dalam sidang media sama, Teng turut menerangkan garis panduan yang akan diguna pakai oleh Adun dalam mesyuarat Dewan Negeri yang dikuatkuasa serta-merta.
Antaranya, berkenaan Peraturan Tetap 24 di mana masa untuk Menteri Besar memberi jawapan lisan kepada setiap pertanyaan adalah terhad kepada tiga minit, masa untuk Adun mengeluarkan pertanyaan tambahan adalah terhad kepada 30 saat dan masa untuk Menteri Besar memberi jawapan balas terhad kepada tiga minit.
Sementara itu, di bawah Peraturan Tetap 26 menerangkan sesuatu usul yang dicadangkan itu akan digugurkan sekiranya tidak memperolehi sokongan daripada seorang Adun lain untuk dibahaskan.
“Berkenaan Peraturan 66(4), masa yang diperuntukkan bagi membincangkan setiap kepala perbelanjaan dalam anggaran-anggaran perbelanjaan atau maksud dalam jadual Rang Undang-undang hendaklah tidak kurang daripada setengah jam.
“Pada akhir perbincangan, mana-mana kepala anggaran-anggaran perbelanjaan atau maksud dalam jadual Rang Undang-undang, Menteri Besar boleh meminta izin untuk membuat penggulungan selama tiga minit.
“Walau apa pun yang diperintahkan di sini, Tuan Speaker atas pertimbangannya boleh melanjutkan had masa yang ditetapkan mengikut keadaan dan keperluan masa,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan