Oleh Aisha Geoffrey
KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa berhenti menjadi ejen pembersihan segala penyelewengan yang dilakukan pemimpin Umno BN.
Ketua Koordinator Jingga 13, Fariz Musa mengingatkan agensi itu berhubung skandal anak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz yang menikmati manfaat terus dari Michael Chia, ahli perniagaan yang terbabit dalam skandal RM40 juta untuk Umno Sabah.
Chia adalah individu utama dalam skandal penyeludupan wang haram RM40 juta kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan ditahan Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah Hong Kong (ICAC) pada 2008 berhubung perkara itu.
“Seperti dalam kes NFC, suami Shahrizat Jalil bebas begitu saja, sedangkan pelbagai bukti telah dikemukakan, jadi dalam kes RM40 juta ini diharap SPRM berhenti jadi ejen Umno,” tegasnya ketika dihubungi.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN itu berkata, beliau akan menunggu maklum balas seterusnya daripada Nazri dan merujuk perkara itu kepada Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli sebelum membawa isu ini ke polis dan SPRM.
Rafizi dalam sidang medianya di Parlimen semalam mendedahkan, Nedim Nazri menggunakan kenderaan mewah jenis Hummer berharga RM459,000 berwarna hitam dengan nombor pendaftaran WNX 9776 milik Chia.
Dalam respon balas, Nazri berkata, anaknya tidak perlu memberitahu apa-apa berkaitan hubungannya dengan Chia, sama seperti jawapan Shahrizat di mahkamah dalam kes NFC.
“Alasan itu menjadi trend untuk pemimpin Umno meghalalkan penyelewengan dilakukan mereka. Maksudnya lepas ini, semua (pimpinan BN) tak payah ambil hal ehwal keluarga sendiri,” katanya sinis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan