Ini kerana mereka telah melabelkannya sebagai anti-Islam dan penyokong kumpulan pasangan sejenis.
PETALING JAYA: Senator Australia, Nick Xenophon hari ini hadir ke Balai Polis Travers, Kuala Lumpur membuat laporan terhadap akhbar Berita Harian (BH), News Straits Times (NST) dan Utusan Malaysia kerana melabelkannya sebagai anti-Islam dan penyokong kumpulan pasangan sejenis.
Senator bebas itu yang tiba di Malaysia sejak semalam membuat laporan polis kira-kira 11 pagi tadi menyifatkan laporan terbabit sebagai palsu, tidak benar, dan mencemarkan reputasinya sebagai seorang senator sehingga menimbulkan ketakutan sekiranya menjadi mangsa keadaan.
“Senator Nick mahu pihak berkuasa menyiasat kes ini di bawah undang-undang jenayah Seksyen 499 Kanun Keseksaan kerana menyebarkan fitnah,” kata wakil peguam Amer Hamzah Arshad ketika dihubungi.
Menurut Amer, Nick kini berada di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi memberikan keterangan kes terhadap laporan polisnya pagi tadi.
Nick dijemput oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi salah satu anggota badan pemerhati luar bagi memantau Perhimpunan Bersih 3.0 bagi menuntut pilihan raya adil dan bersih pada 28 April lalu.
Utusan dalam laporannya 1 Mei lalu mendakwa Nick mengecam Islam sebagai sebuah organisasi jenayah yang berselindung disebalik kepercayaan agama.
Dakwaan itu dipetik Utusan melalui satu ucapan Nick pada 17 November 2009.
Manakala NST menyiarkan kenyataan Ahli Parlimen Bebas-Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim yang turut menyifatkan Nick sebagai peyokong kumpulan LGBT.
Namun NST kemudiannya menarik balik laporan tersebut dan memohon maaf 3 Mei lalu.
Melampau batas
Walaupun pengakuan dan permohonan maaf dikemukakan NST, namun Amer menegaskan isu itu melampau batas kerana menjejaskan nama baik Nick sebagai seorang wakil rakyat.
“Nick sibuk menjalankan tugasnya di Australia. Baru sekarang berkesempatan untuk datang ke Malaysia dan membuat laporan polis walaupun artikel itu disiarkan Mei lalu,” katanya.
Nick dijangka pulang ke tanah air pada Ahad ini bagi menghadiri sidang Parlimen Australia Isnin minggu depan.
Sementara itu, Amer berkata pihaknya akan meneruskan niat untuk mengambil tindakan saman terhadap akhbar berkenaan dalam masa terdekat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan