Selasa, 20 November 2012

Salah laku polis: Cabar Hishammuddin berdebat

 Roketkini.com

KUALA LUMPUR: Respon lemah Menteri Dalam Negeri dalam isu salah laku polis yang terbaru dituduh merogol wanita warga Indonesia memperlihatkan kelemahan Datuk  Seri Hishamuddin Hussein dalam menangani dan memperbaiki imej polis.

Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo dalam kenyataannya kepada media hari ini mencabar Hishammuddin untuk berdebat secara terbuka mengenai masalah berkaitan keselamatan awam dan salah laku polis terhadap orang awam dan tahanan.

Beliau melontarkan cabaran itu lantaran kes salah laku polis yang kian menular membabitkan kematian, kes rogol serta kekerasan terhadap tahanan polis.

Menurut Gobind, Menteri Dalam Negeri sekadar boleh memberi respon bahawa kerajaan hanya dapat membawa anggota polis yang dituduh merogol waga Indonesia terbabit ke muka pengadilan dan tidak ada tindakan lain yang boleh diambil.

Gobind berkata, Menteri Dalam Negeri seharusnya belajar daripada kes Teoh Beng Hock, Kugan dan Ahmad Sarbani Mohamed yang mati ketika dalam kawalan pihak berkuasa yang jelas menunjukkan wujudnya kelemahan dalam sistem dan langkah yang digunapakai di balai polis serta tempat tahanan dipertikai.

Beliau merujuk satu kes pada 2008 di mana seorang pegawai polis didakwa di mahkamah kerana merogol seorang pelajar berusia 17 tahun dan memaksa gadis itu melakukan seks oral ke atasnya.

Menurutnya, tiada tindakan diambil sehingga kes itu disebut di Parlimen dan dihebahkan di dalam media massa.

Menurut beliau, kes terbaru membabitkan tiga pegawai polis yang merogol warga Indonesia itu juga tidak diambil tindakan, sehinggalah dihebahkan media dan tercetusnya demonstrasi di Indonesia.

Gobind menggesa Menteri Dalam Negeri supaya menerima cabarannya supaya Hishammuddin berpeluang memberi alasan kepada tindakan sambil lewanya dalam hal itu. – Roketkini.com

Tiada ulasan: