Adun Kuala Kubu Bharu, Wong Koon Mun berkata, perolehan undi majoriti itu berdasarkan kepercayaan kepada calon untuk meneruskan agenda memartabatkan kepentingan rakyat.
Namun katanya, kemenangan selesa itu membuatkan segelintir pemimpin mula lalai dan mengabaikan kebajikan rakyat yang mengharapkan perubahan.
“Kemenangan majoriti pada PRU11 itu mengakibatkan ada calon yang menang lupa diri, sombong dan tidak menjalankan tanggungjawab dengan dedikasi terhadap hak rakyat.
“Senario itu menyebabkan kekalahan pada PRU12 mungkin kerana ahli parti cuba mengurangkan undi majoriti sebagai pengajaran kepada calon terbabit.
“Kekalahan tersebut sia-sia kerana kita (BN) kehilangan banyak hak dalam pentadbiran negeri-negeri yang jatuh ke tangan pembangkang,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan, yang menyatakan kekalahan Umno pada PRU12 kerana faktor sabotaj dalam kalangan ahli parti antara punca menjejaskan peluang BN untuk menang.
Koon Mun berkata, beliau tidak menolak faktor sabotaj antara punca kekalahan parti tetapi banyak lagi perkara yang perlu diperhalusi melibatkan peringkat pusat, negeri dan bahagian untuk memastikan kemenangan.
Perkara tersebut turut dipersetujui Adun Jeram, Datuk Amiruddin Setro yang berpendapat, BN perlu bangkit selepas berdepan ‘tsunami’ pada PRU12 dengan memfokuskan perpaduan sesama ahli parti.
“Saya yakin pilihan raya akan datang nanti, kita semua sudah bersedia. Kekalahan lalu telah mematangkan kita agar mengetepikan kepentingan peribadi untuk mengutamakan kekuatan parti dalam usaha merampas semula negeri jajahan pembangkang.
“Saya percaya usul Gagasan 1Malaysia yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberi kesedaran akan peranan masing-masing,” katanya,
Sementara itu, Adun Kuang, Abdul Shukur Idrus berkata, sekarang ini beliau yakin masalah sabotaj bukan lagi kekangan utama kerana semangat parti sudah berada di tahap tinggi menjelang pilihan raya.
“Rakyat sudah mula sedar apabila berdepan banyak keperitan sepanjang pemerintahan PR dan kita yakin Umno akan dapat merampas kembali negeri yang jatuh ke tangan PR,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan