Isnin, 12 November 2012

Rajagobal positif teguran Tengku Abdullah

SINAR HARIAN

K Rajagobal
Jurulatih Harimau Malaya, Datuk K.Rajagopal
 
PETALING JAYA - Ketua jurulatih bola sepak kebangsaan Datuk K. Rajagobal menyifatkan teguran Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengenai prestasi semasa skuad kebangsaan yang kian merosot sebagai pandangan positif.
  
Beliau berkata teguran Tengku Mahkota Pahang itu menjadi pembakar semangat untuk beliau mempersiapkan pasukan pada tahap terbaik bagi menghadapi Kejohanan Piala AFF Suzuki bermula 23 November ini.
  
"Bagi saya, kenyataan itu tidak mengganggu persiapan pasukan kerana saya telah melalui situasi sedemikian dan saya tahu apa yang kita buat.
  
"Pengurus pasukan kebangsaan (Datuk Seri Subahan Kamal) pun sedar apa yang kita buat dan saya fikir kita masih berada dalam perjalanan yang sesuai sebelum bermula kempen sebenar kejohanan," katanya ketika ditemui pemberita selepas pelancaran jersi baharu skuad Harimau Malaya sempena kejohanan itu oleh Nike Malaysia di Wisma FAM, di sini, hari ini.
  
Tengku Abdullah semalam dilaporkan sebagai bertitah bahawa baginda kecewa dengan persembahan skuad Harimau Malaya yang semakin merosot terutamanya pada perlawanan persahabatan termasuk kekalahan 0-1 kepada Vietnam dan 0-2 kepada Thailand, awal bulan ini.
 
Baginda mahukan Rajagobal berhenti mencuba-cuba pemain sebaliknya menyenaraikan kesebelasan utama terbaik skuad Harimau Malaya bagi menghadapi kejohanan bola sepak rantau Asean dua tahun sekali itu.
  
Pada masa yang sama, Rajagobal pula mahu peminat bola sepak tempatan tidak terlalu mendesak skuad kebangsaan untuk mencatat keputusan terbaik dalam setiap perlawanan mereka terutama dalam perlawanan persahabatan.
  
"Tiada ada satu pasukan di dunia yang mencatatkan kemenangan berterusan, jadi saya berharap peminat tempatan melihat ia sebagai suatu perkara yang positif," katanya.
  
Mengulas mengenai keenganan beliau mengumumkan senarai akhir 22 pemain yang akan menggalas cabaran negara mempertahankan kejuaraan pada Piala AFF Suzuki, Rajagobal berkata ini bagi memastikan pemain utamanya tidak mengalami kecederaan serius sebelum sepak mula kejohanan.

"(Sehubungan itu), saya memberikan peluang kepada peluang sama rata kepada semua pemain untuk menunjukkan aksi masing-masing kerana saya bimbang tahap kecergasan mereka mungkin berbeza apabila kita memerlukan khidmat mereka dalam sesuatu perlawanan (yang penting)," katanya.
  
Sementara itu, kapten skuad kebangsaan Safiq Rahim menyeru rakan sepasukan untuk mencatatkan keputusan positif dalam perlawanan persahabatan selepas ini termasuk pertemuan dengan Hong Kong pada Rabu ini di Stadium Shah Alam bagi mengembalikan semula kepercayaan peminat bola sepak tempatan.
  
"Saya menyeru rakan sepasukan memberikan keputusan yang baik pada perlawanan itu nanti (menentang Hong Kong) kerana ia merupakan antara ujian awal kita sebelum menghadapi Singapura pada perlawanan pembukaan Kejohanan Piala AFF yang sebenar," katanya.
  
Skuad kebangsaan bakal mengadakan perlawanan persahabatan terakhir menentang Bangladesh pada 20 November ini di Stadium Shah Alam sebelum berdepan Kejohanan Piala AFF Suzuki.
  
Pada Kejohanan Piala AFF Suzuki tahun ini, skuad kebangsaan yang muncul juara pada edisi 2010 di Indonesia diundi dalam Kumpulan B.
  
Mereka bakal berdepan Singapura pada 25 Nov, Laos pada 28 November sebelum melengkapkan aksi kumpulan menentang Indonesia pada 1 Disember.
  
Kesemua perlawanan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.  - Bernama

Tiada ulasan: