Ahad, 4 November 2012

PKR Pahang: 'Wang ihsan RM100 juta tidak berbaloi'

Wartawan Sinar Harian

Datuk Fauzi Abdul Rahman.
Datuk Fauzi Abdul Rahman.
 
KUANTAN – Pemberian wang ihsan RM100 juta kepada Pahang yang diumumkan Kerajaan Persekutuan, baru-baru ini, dilihat sudah pun menganiaya negeri itu dan jumlah lebih tinggi sepatutnya diterima.

Pengerusi PKR Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman berkata, jumlah itu dianggap tidak berbaloi untuk Pahang, berikutan keuntungan yang bakal diperoleh adalah jumlah besar.

“Saya berani kata, wang ihsan RM100 juta tersebut setakat celah gigi sahaja. Jika dibandingkan industri minyak dan gas yang sebenar, jumlahnya adalah jauh lebih tinggi,” katanya ketika dihubungi semalam.

Katanya, beliau yakin jumlah hasil minyak di medan minyak Bertam itu mencecah belasan bilion ringgit dan sewajarnya wang yang diterima lebih banyak.

“Industri minyak dan gas tidak pandang projek satu atau dua bilion ringgit. Paling kurang pun 10 hingga 15 bilion. Jadi mengapa Pahang hanya menerima RM100 juta sahaja sedangkan boleh dapat lebih,” katanya.

Beliau turut menyokong kenyataan Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mahu Kerajaan Persekutuan memberikan royalti minyak, bukannya wang ihsan.

“Pahang layak menerima hasil minyak secara pembayaran royalti dan bukannya wang ihsan. Dari segi pemberian wang juga sudah nampak penganiayaan, itu belum lagi cerita bab lain.

“Saya minta sekiranya Kerajaan Persekutuan benar-benar ingin memberi wang kepada Pahang, biarlah ikhlas dan amanah. Nak bagi duit jangan acuh tak acuh,” katanya.

Beliau juga tidak mahu isu ini dipolitikkan serta dijadikan bahan untuk memancing undi.

Tiada ulasan: