Selasa, 13 November 2012

Pesakit kanser wajar berehat atau direhatkan

Aspan Alias,

Saya tidak dapat memikirkan alasan-alasan yang munasabah untuk kita mengekalkan UMNO sebagai pemegang amanah negara kerana segala-gala yang dilakukan dan kegagalan UMNO selama ini sudah ‘terbonggeng’ dan sudah dirasakan oleh semua rakyat. UMNO ibarat pesakit kanser yang ‘terminal’ kerana hampir semua sel-sel dalam tubuh UMNO itu sudah mati. Penyakit kanser ini merupakan satu penyakit dalam mana sel-sel di dalam tubuh kita telah mati dan sel-sel yang masih hidup itu pun akan berbunuh-bunuhan sehingga penanggungnya, ia itu tubuh dan jasadnya mati.
 
Seperti pengidap kanser, ia akan selalu berusaha untuk mengubati penyakit yang merbahaya itu, tetapi akhirnya tubuh akan mati juga. Pesakit dan pengidap kanser akan melakukan apa sahaja untuk berubat sama ada menggunakan ubat tradisi atau ubat-ubat moden di hospital-hospital. Selalunya pesakit kanser akan berbuat apa sahaja untuk meneruskan kehidupan. Jika ada yang memberikan nasihat untuk pergi ke tempat-tempat di mana-mana sahaja untuk berubat pesakit atau penjaganya akan pergi untuk memberikan harapan untuk terus hidup.

Tetapi akhirnya pesakit-pesakit kanser yang sudah pulih itu hanya mengalami pemulihan sementara sahaja dan akhirnya mereka akan mengakhiri kalamnya kerana penyakit itu juga. Tetapi saya tidak menafikan yang ada yang selamat sehingga satu jangka yang lama (dengan izin Allah), tetapi lambat launnya pesakit itu akan meninggal kerana penyakit itu.

Begitu jugalah UMNO. UMNO telah mengidap penyakit ini agak lama, tetapi oleh kerana UMNO ini parti kaya-raya dan dipimpin oleh semua pemimpin-pemimpin yang ‘kaya baru’ maka hayatnya telah dapat disambung kerana yang kaya selalunya akan dapat berubat dan pergi terbang ke seluruh pelusuk dunia untuk berubat. Penyakit kanser UMNO ini sebenar nya sudah lama kerana ramai yang berpendapat ia mula merebak sejak pemerintahan Dr Mahathir. Tetapi UMNO mampu berubat kerana kekayaan pemimpin-pemimpinnya maka UMNO dapatlah untuk terus hidup sampai ke pilihanraya 2008 dahulu walaupun tanda-tanda kematian sudah jelas nampak apabila hilang majoriti 2/3 di Dewan Legislatif Parlimen.

Tetapi seperti yang saya katakan tadi, yang akan membunuh UMNO itu ialah penyakit kanser yang di hidapi selama ini juga. Sebagai pesakit kanser seseorang itu terpaksa berbelanja besar untuk membeli ubat dan membeli ‘supplement’ yang mahal-mahal untuk menyekat kemaraan penyakit kanser itu.

Maka kita sedang melihat bagaimana UMNO terpaksa berbelanja besar untuk merawat penyakit yang di hidapinya itu. Najib terpaksa ke hulu ke hilir serta mundar mandir ke darat dan ke baruh untuk memanjangkan usia parti yang sedang menghadapi penyakit yang serius itu. Sekali Najib melawat jutaan wang ringgit dibelanjakan dan semuanya ini adalah wang rakyat. Seperti yang saya katakan peruntukan besar terpaksa di adakan untuk membeli segala ‘supplement’ yang dikatakan baik untuk mengekang penyakit ini dari merebak.

Najib akan mendengar semua nasihat penasihat-penasihat dan rakan-rakan karibnya akan melakukan apa sahaja untuk mengubati penyakit yang amat sukar diubati itu. Di antaranya ialah satu ubat yang dinamakan ‘BRIM’ iaitu bantuan rakyat 1Malaysia. Ubat BRIM ini amat mahal harganya untuk memujuk sel-sel yang ada di dalam tubuh UMNO itu supaya tidak mati. Berbillion harganya ubat ‘BRIM’ ini

Satu lagi usaha ialah dengan meminta semua sel-sel di dalam tubuh itu supaya tidak membunuh satu dengan yang lain. Ramai lah pemimpin-pemimpin UMNO yang telah pergi ke Yayasan Perdana di Putrajaya untuk mengangkat sumpah di depan pemimpin besar UMNO supaya tidak membunuh di antara satu dengan lain kerana kanser di semarakan oleh bunuh membunuh di antara sel-sel yang masih hidup itu. Ramai pemimpin UMNO telah pergi mengangkat sumpah di depan Dr Mahathir dan berbaiah untuk tidak mensabotaj calon-calon BN dalam pilihanraya nanti.

Itulah sebenarnya penyakit UMNO itu. UMNO juga tahu yang pesakit kanser yang sudah sampai ketahap ‘stage 4’ akan kurang diyakini oleh orang ramai untuk melaksanakan tanggungjawab. Pesakit kanser akan hanya dapat melambatkan kemaraan penyakit itu dengan berehat dan jauhi dari segala bentuk tekanan yang di anggap ‘stressful’ kerana perasaan tertekan itu akan memburukkan lagi penyakit itu.

Itu sebabnya UMNO kian hari kian lemah kerana terlalu tertekan dan tidak mungkin boleh memperbaiki kesihatannya. Kerana tekanan yang terlalu serius maka kita sedang melihat  kesihatan UMNO itu semakin hari semakin buruk.

Itulah sebab nya rakyat meminta UMNO untuk berehat dan pergilah buat pembedahan yang mana patut semasa dalam berehat itu. Tetapi sebagaimana sikap pesakit, mereka susah untuk menerima hakikat yang mereka terpaksa melakukan pembedahan-pembedahan yang amat diperlukan itu.

Rakyat perlu memaksa UMNO pergi melakukan pembedahan dan berehat sebanyak yang mungkin. Sementara itu tanggungjawab menjaga negara dan rakyat ini biarlah dilakukan oleh pihak lain yang sudah terbukti lebih sihat dan walafiat.

UMNO perlu memahami keutamaan mereka. Keutamaan mereka ialah untuk berehat dan melakukan pembedahan  Jangan fikir lagi untuk masih berada di pejabat dan bekerja. Kalau masih mahu bekerja pun ia tidak akan membawa apa-apa keuntungan kepada negara.

Kepada UMNO, pergilah berehat. Jaga kesihatan yang sudah terlalu uzur itu. Itu lebih afdhal. Bersihkan segala ‘toxic’ yang ada di dalam tubuh UMNO itu. Makan dan minumlah makanan dan minuman yang mempunyai kandungan ‘alkaline’ yang tinggi untuk mengurangkan ‘toxic-toxic’ tersebut. - http://aspanaliasnet.blogspot.com/

Tiada ulasan: