Jumaat, 23 November 2012

Permohonan Rafizi ketepi tuduhan Bafia ditolak

SINAR HARIAN

rafizi ramli
Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli
 
SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohd Rafizi Ramli untuk mengetepikan pertuduhan mengikut Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (Bafia) 1989 terhadapnya di Mahkamah Sesyen.

Hakim Datuk Ghazali Cha membuat keputusan itu selepas mendapati permohonan dibuat Mohd Rafizi bersifat pramatang.

Ghazali bagaimanapun membenarkan permohonan Mohd Rafizi untuk menangguhkan prosiding di Mahkamah Sesyen sementara menunggu proses rayuannya di Mahkamah Rayuan.

Mohd Rafizi, 35, didakwa mendedahkan dokumen penyata baki akaun pelanggan Public Bank iaitu National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC), National Meat & Livestock Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd dan Pengerusi Eksekutif NFC Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail, yang beliau mempunyai akses, kepada Yusof Abdul Alim dan Erle Martin Carvalho di ibu pejabat PKR di Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan, Petaling Jaya pada 7 Mac lepas.

Dia mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada 1 Ogos lepas mengikut Seksyen 97(1) Bafia yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM3 juta, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pada 10 Sept lepas, Mohd Rafizi memfailkan permohonan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini untuk mengetepikan pertuduhan ke atasnya atas alasan prosiding jenayah di Mahkamah Sesyen bermotifkan politik.- Bernama

Tiada ulasan: