Khamis, 22 November 2012

Penjara lima tahun, denda RM10 juta jika dedah maklumat pelanggan

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Seseorang yang mempunyai akses kepada apa-apa dokumen atau maklumat berhubung hal ehwal atau akaun mana-mana pelanggan suatu institusi kewangan adalah dilarang untuk mendedahkannya kepada orang lain.

Ini termasuk institusi kewangan atau mana-mana orang yang atau pernah menjadi pengarah, pegawai atau ejen institusi kewangan itu.

Sesiapa yang disabitkan kesalahan itu boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau didenda tidak melebihi RM10 juta atau kedua-duanya.

Peruntukan itu terkandung di dalam Rang Undang-undang Perkhidmatan Kewangan 2012 yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini oleh Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Larangan itu adalah di bawah Fasal 133 yang diperuntukkan dalam Penggal 4 'Maklumat dan kerahsiaan' rang undang-undang itu.

Bagaimanapun, rang undang-undang itu mengecualikan peruntukan kerahsiaan terhadap apa-apa dokumen atau maklumat berhubung dengan hal ehwal atau akaun mana-mana pelanggan bagi sesuatu institusi kewangan.

Pengecualian itu meliputi maklumat yang didedahkan kepada bank oleh mana-mana pegawainya atau mana-mana orang yang dilantik di bawah rang undang-undang ini atau Akta Bank Negara 2009 bagi maksud melaksanakan apa-apa kuasa atau fungsi bank di bawah rang undang-undang ini atau Akta Bank Negara 2009.

Rang undang-undang tersebut turut menyebut secara khusus pendedahan yang dibenarkan yang terkandung dalam seksyen 134.

Antaranya pihak institusi kewangan atau pengarahnya atau pegawainya boleh mendedahkan apa-apa dokumen atau maklumat yang berhubung dengan hal ehwal atau akaun pelanggannya kepada orang lain yang telah ditentukan.

Selain itu, dokumen atau maklumat yang dibenarkan secara bertulis oleh pelanggan, wasi atau pentadbir pelanggan kepada orang yang dibenarkan oleh mereka.

Pengecualian turut diberikan jika pelanggan diisytiharkan bankrap di Malaysia atau di mana-mana negara, wilayah atau di luar Malaysia apabila maklumat dan dokumen berkaitan pelanggan terbabit boleh didedahkan kepada sesiapa yang perlu mengetahui status kebankrapannya.  

Rang undang-undang ini bertujuan menggabungkan Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989, Akta Insurans 1996, Akta Sistem Pembayaran 2003 dan Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953.

Awang Adek turut membentangkan Rang Undang-undang Perkhidmatan Kewangan Islam 2012 dan Rang Undang-undang Bank Negara Malaysia (Pindaan) 2012 untuk bacaan kali pertama pada sidang hari ini.

Sementara itu, dua rang undang-undang lain turut dibentangkan iaitu Rang Undang-undang Penyelarasan Pencen (Pindaan) 2012 dan Rang Undang-undang Reka Bentuk Perindustrian (Pindaan) 2012. — Bernama

Tiada ulasan: