Isnin, 5 November 2012

Penjaga lembu direman bantu siasatan kes bunuh bekas guru Kemas

SINAR HARIAN

KUALA SELANGOR - Polis mendapatkan perintah tahanan reman selama seminggu bermula hari ini terhadap seorang penjaga lembu bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang bekas guru Jabatan Kebajikan Masyarakat (Kemas) semalam.
  
Majistret Shahwira Abdul Halim mengeluarkan perintah tahanan reman sehingga 11 November ini bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302
Kanun Keseksaan.
  
Suspek berusia 24 tahun yang memakai baju lokap berwarna oren dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Selangor pada pukul 11.30 pagi dengan menaiki kenderaan polis jenis Proton Waja dan meninggalkan kawasan mahkamah pada pukul 12 tengah hari.
  
Dalam kejadian pada 4.45 pagi semalam, Sadariah Tohbasar @ Ahmad, 65, yang bekerja sebagai tukang jahit dan membuat kuih ditekup mukanya dengan bantal sehingga mati oleh seorang daripada dua lelaki yang merompak rumah kedainya di Jalan Parit 6 Timur, Sungai Besar, Sabak Bernam.
  
Lebih menyayat hati, kejadian itu berlaku di hadapan cucunya, Mohd Hafizul Azwan Mohd Aznan, 17, yang diikat oleh perompak berkenaan.

Kedua-dua perompak itu yang dipercayai warga tempatan melarikan pelbagai barangan kemas serta wang tunai RM500 daripada mangsa.
  
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Supt Noor Mushar Mohamad ketika dihubungi berkata hasil siasatan awal, suspek ditahan di tempat kerjanya di ladang lembu Tanjung Malim, Perak, pada pukul 4 petang semalam.
  
"Kita percaya penahanan dan siasatan ke atas suspek akan membawa kepada penahanan dalang sebenar kejadian itu dalam masa terdekat," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: