Rabu, 7 November 2012

Pemuda PAS Selangor prihatin mangsa banjir

Harakahdaily,


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor amat prihatin terhadap perkembangan cuaca yang agak lembap dengan hujan lebat sepanjang 2 minggu lalu telah menyebabkan beberapa kawasan telah mengalami banjir kilat seperti di Gombak, Kota Raja, Shah Alam, Sepang, Kuala Langat dan beberapa kawasan lagi.

Lebih kurang 1,200 orang mangsa banjir di Selangor kini berada di pusat-pusat pemindahan untuk mangsa banjir sehingga hari ini.

Sehubungan itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor, Hasbullah Mohd Ridzwan (gambar) berkata pihaknya mengucapkan takziah kepada seluruh mangsa-mangsa banjir dan ahli keluarga mereka di atas musibah yang melanda dan kerosakan harta benda yang dialami di dalam kejadian banjir.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor turut mendoakan semoga para mangsa banjir akan bersabar di atas ujian ini dan tabah untuk meneruskan kehidupan di masa hadapan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor telah mengambil langkah proaktif dengan mengarahkan Jabatan Amal Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor bersama dengan Lajnah Kebajikan Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor untuk bertindak segera dengan mewujudkan Bilik Gerakan Banjir di kawasa-kawasan yang terbabit untuk tujuan penyaluran bantuan segera daripada pelbagai aspek yang boleh disumbangkan dengan bantuan daripada Dewan Pemuda PAS Kawasan-kawasan.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga, ujarnya mengalu-alukan sebarang sumbangan dalam bentuk wang ringgit dan barangan keperluan untuk makanan daripada pihak-pihak yang sudi untuk memberikan bantuan.

Sebarang bantuan bolehlah disalurkan dengan menghubungi, Pengarah Jabatan Amal Negeri Selangor, Saudara Mohd Nazree, 017 3333441.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor amat mengharapkan semoga Kerajaan Negeri Selangor yang mempunyai lebihan simpanan sebanyak 2 bilion pada tahun ini dapat menyalurkan bantuan yang selayaknya bagi membantu mangsa-mangsa banjir dengan kadar yang segera,” katanya.

Beliau berharap kerajaan negeri perlu mengambil iktibar di atas segala kelemahan semasa menangani masalah yang sama pada tahun lepas.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor tidak mahu lagi kerajaan negeri bersikap sambil lewa dan berlepas tangan apabila musibah melanda rakyat di dalam negeri Selangor,” ujarnya.

Tiada ulasan: