Ahad, 4 November 2012

Pejabat Sinar Harian Terengganu dipecah masuk

Bernama


 
Sebuah bangunan dua tingkat yang menempatkan pejabat Sinar Harian cawangan Terengganu, pejabat 7Eleven Terengganu dan sebuah salun kecantikan di Jalan Sultan Mahmud dipecah masuk malam tadi.

Wartawan kanan Sinar Harian Terengganu Farah Shazwani Ali berkata kejadian itu disedari pada pukul 9.15 pagi ini ketika seorang wartawan tiba di pejabat untuk memulakan tugas.

Farah Sahzwani berkata wartawan berkenaan kemudian menelefon beliau memaklumkan pintu utama dan pintu grill tidak berkunci dan keadaan pejabat yang berselerak.

"Saya bergegas ke pejabat selepas menerima panggilan itu dan saya dapati pejabat sangat berselerak kerana digeledah.

"Hasil pemeriksaan, kami rasakan kemungkinan penjenayah berkenaan masuk melalui pintu hadapan kerana terdapat kesan umpilan pada pintu itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau berkata penjenayah berkenaan melarikan sebuah kamera DSLR jenama Nikon D40, komputer riba, dua telefon jenama Motorola dan Nokia serta wang tunai RM30.

Sementara itu seorang kerani 7Eleven, Tuan Syarifah Azizah Tuan Ibrahim, 22 berkata beliau mendapati pintu utama pejabatnya tidak bertutup dan keadaan pejabat berselerak ketika memasuki pejabat pada pukul 9.30 pagi ini.

"Ketika sampai, saya terperasan satu projektor berada di depan pintu dan menyangkakan tiada apa yang hilang namun setelah diperiksa, rupanya beberapa barang seperti kamera, wang tunai dan komputer riba lesap," katanya.

Laporan polis mengenai kejadian itu dibuat di Ibu Pebajat Polis Daerah Kuala Terengganu tengah hari ini.- Bernama

Tiada ulasan: