Khamis, 8 November 2012

Peguam Perancis sah hadir Parlimen 22 Nov bongkar kes Scorpene

Oleh Aisha Geoffrey

KUALA LUMPUR- Dua peguam Perancis, William Bourdon dan Joseph Breham mengesahkan kehadiran mereka ke Dewan Rakyat 22 November ini untuk beri taklimat kepada Ahli Parlimen Malaysia berhubung kes Scorpene.



Memaklumkan perkara itu, Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah berkata, kedua-dua peguam tersebut setuju untuk datang ke Parlimen sebagai menyambut jemputan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertarikh 2 Oktober 2012.

Bagaimanapun, Bourdon dalam surat beliau bertarikh 29 Oktober meminta jaminan kerajaan agar kejadian beliau dihalang dari memasuki negara ini pada Julai 2011 tidak berulang.

“Hari ini, pejabat Ketua Pembangkang telah menghantar surat kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk mendapatkan satu jaminan bertulis supaya membenarkan peguam-peguam tersebut untuk masuk ke negara ini tidak dihalang.

“Ini kerana Bourdon mengesahkan kehadiran dengan syarat tidak dihalang masuk atau disingkir oleh pihak berkuasa,” jelasnya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz menyatakan tiada bantahan tentang kehadiran peguam tersebut di Parlimen.



Bourdon dan Breham akan memberi penerangan kepada Ahli Parlimen mengenai prosiding inkuiri di Tribunal De Grande Instance berkenaan pembelian kapal selam Scorpene oleh Kerajaan Malaysia.



Kapal selam itu dibeli dari Direction des Construction Navales Services (DCNS), Thales dan Armaris pada 2002.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua berkata, pihaknya akan cuba membawa peguam DCNS bersama pada taklimat itu nanti.

Tiada ulasan: