Sabtu, 17 November 2012

PAS sasar 60 kawasan parlimen PRU-13

Harakahdaily,

KOTA BHARU: “Jangan pula kita hilang rasa tawaduk kepada Al Malik dan menerimalah apa yang ditentukan Allah Taala.

“Jangan dilihat kita terlalu gelojoh, jangan pula kita menunduk sehingga terhantuk. Kita hendak kaji apakah punca kita kalah sebelum ini dan bagaimana pula cara hendak menang.

“Selepas muktamar ini kita balik dan semak di kawasan masing-masing,” kata Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa ketika menggulung ucapan dasar presiden pada muktamar hari ini.

Beliau juga berkata, memang diakui demokrasi itu kejam, di mana orang yang baik pun boleh tewas dalam pilihan raya.

“Ini sangat kejam. Kalau gagal merakyatkan parti kita akan gagal. Oleh itu kita kena merakyatkan perjuangan,” ujarnya.

Oleh itu beliau yang juga Pengerusi Bersama Manifesto Pakatan Rakyat melontarkan pesanan supaya jangan terlalu ghairah ketika kita mahu melangkah untuk mencapai kemenangan.

Beliau yang juga anggota Exco kerajaan negeri Kelantan berkata, setiap daripada kita perlu bertindak bagi mengolah parti bagaimana cara hendak menang dan mudah diterima semua pihak.

Kuncinya kata beliau merakyatkan perjuangan dengan bekalannya Negara Berkebajikan.

“Jangan terlalu hendak menang tanpa menyemak kedudukan kita sebenarnya. Pengkritik telah mengkritik kononnya kita telah meninggalkan perundangan Islam sehingga diperkenalkan pula konsep Negara Berkebajikan.

“Sehebat mana perjuangan kita dalam kerangka demokrasi, kemenanganlah yang paling mustahak. Berapa kerusi yang kita boleh menang. Paling tidak kita kena menang 60 kerusi dan sekarang kita fokus kerusi mana yang boleh menang,” ujarnya.

Menurut beliau juga pada pilihan raya umum ke-12 PAS memberi fokus 40 kerusi, namun ketika itu 10 kerusi tersasar daripada mencapai target kerana faktor undi pos.

Ini kerana menurutnya terdapat 11 kawasan parlimen yang ada majoriti undi tentera.

Tiada ulasan: