Sabtu, 17 November 2012

PAKSI dan MBI Bekerjasama Hidupkan Program Kebudayaan Melayu




SHAH ALAM  : Dalam usaha memartabatkan seni budaya di Selangor, pertubuhan Seniman Paksi Rakyat(Paksi) dengan kerjasama Perbadanan Menteri Besar Selangor(MBI) serta Pihak Berkuasa Tempatan menganjurkan program jelajah budaya di setiap daerah di negeri ini.

Buat pertama kalinya program yang bertemakan ‘Ilmuan Budaya bersama Rakyat’ diadakan di Klang ia bertujuan menyuburkan kembali seni budaya agar dapat menarik minat generasi baru mengetahuinya sekali gus mempopularkan kesenian itu pada masa akan datang.



Menurut Presiden Seniman Paksi Rakyat, Che Shamsuddin Othman atau lebih dikenali sebagai Dinsman program ini bertujuan menghidupkan kembali warisan bangsa Melayu selain mengaktifkan kembali penggiat seni yang semakin dilupakan generasi kini.

Katanya, bagi sesetengah kaum, seni budaya itu eksklusif dan terhormat namun bagi kebanyakan orang Melayu pula, mereka seolah-olah melupakan warisan milik nenek moyang itu.

“Tradisi kesenian orang Melayu adalah sebahagian cerminan nilai, minda dan pandang dunia (worldview) mereka. Seperti juga karya sastera, seni teater adalah hasil akal budi orang Melayu. Sejak berzaman seni budaya bersemarak dalam masyarakat Melayu.

“Namun perkara itu seakan dilupakan generasi ketika ini, justeru kita mahu mengorak langkah untuk memperkenalkan kepada generasi kini supaya mereka dapat menjaga seni itu akan datang.

“Kita namakan program ini “Ilmuan Budaya Bersama Rakyat”. Sebelum ini kita sebut “budayawan bersama rakyat”. Mengapa sekarang “ilmuan budaya”? Sebabnya kerana kita hendak timbulkan kesedaran terhadap menghargai ilmu dan ilmuan. Kita tidak sekadar hendak berpesta dengan aktiviti-aktiviti seni sahaja, tetapi kita juga mengisinya dengan ilmu,” katanya ketika dihubungi.



Pelbagai aktiviti menarik ditonjolkan antaranya deklamasi puisi daripada sasterawan negara iaitu Datuk A.Samad Said, Ibrahim Ghafar, Pyanhabib, Sani Sudin dan Prof Shaharir Mohd Zain serta persembahan muzik gamelan, cempuling, demostrasi silat Seranten, bicara isu semasa bersama Datuk Dr Anwar Ridwan dan gurindam Zurinah Hassan.

Dalam program itu juga, Paksi turut akan menyampaikan Anugerah Budayawan Tempatan.

“Kita akan memilih seorang tokoh budaya yang paling layak untuk diberi penghargaan melalui anugerah ini di setiap daerah, di Klang baru-baru ini kita memilih pelakon, Ruminah Sidek memenangi anugerah itu,” katanya.

Dinsman berkata, setiap penganjuran program di sembilan daerah itu akan diterapkan kelainan antaranya kawasan penganjuran, contohnya di kawasan sekolah, masjid dan kenduri kahwin.



“Memang kita sengaja melakukan kelainan kerana kita menyasarkan semua golongan untuk ke program ini, contohnya di masjid, kenduri kahwin dan pelajar sekolah, biar kita dekat dengan mereka,” katanya.

Program jelajah itu akan diadakan di sembilan daerah di Selangor yang bermula di Klang, Rawang, Tanjung Karang dan diikuti daerah lain bermula 10 November lalu.


Tiada ulasan: