Rabu, 7 November 2012

Nurul Izzah dikecam dalam Dewan Rakyat

 
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata kenyataan Nurul Izzah itu boleh didakwa di bawah enakmen kawalan agama kerana menghina Islam.



KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Rakyat hari ini kecoh ketika membahaskan  isu hak kebebasan memilih agama termasuk di kalangan Melayu yang dibuat ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata kenyataan Nurul Izzah itu boleh didakwa di bawah enakmen kawalan agama kerana menghina Islam.

Namun menegaskan tiada peruntukan atau enakmen khusus yang boleh digunakan jika didapati cuba mengajak orang Islam lain untuk murtad.

“Kalau seorang bukan Islam mengajak orang Islam untuk keluar Islam, maka kita ada dalam enakmen kawalan agama.

“Tapi yang wujud kali ini orang Islam yang mengajak dan membuka ruang untuk orang Islam sendiri memilih agama setelah ibu bapanya mendidik dan ibu bapa mewariskan agama tersebut.

“Setakat ini tiada peruntukan khusus sebegitu tapi boleh dimasukkan di bawah peruntukan menghina agama Islam atau menyebabkan Islam dipandang hina,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) mengenai tindakan wajar diambil terhadap Nurul Izzah.

Katanya, berdasarkan enakmen kawalan agama, mana-mana orang secara lisan atau bertulis mempersendakan atau menyebabkan Islam dipandang hina boleh dikenakan hukuman tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Jawapan Mashitah itu kemudiannya disanggah Dr Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor) yang menggesa supaya Mashitah segera menarik balik kerana gagal kenyataan Nurul Izzah sepenuhnya.

`Kamu angkuh’

“Saya minta timbalan menteri sebelum buat apa-apa pertuduhan, atas perkara dakwaan yang dilemparkan kepada Lembah Pantai, apakah timbalan menteri tahu kenyataan sebenar yang disebutkan Lembah Pantai?”

“Lembah Pantai kata ada salah laporan … tapi Sri Gading tak faham,” tegasnya.

Kenyataan Dzulkefly itu kemudiannya mendapat respon daripada ahli Parlimen BN yang  mempertahankan Mashitah.

“Kamu angkuh!”, Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu) kepada  Dzulkefly.

“Timbalan menteri tidak  membuat tuduhan!” sahut Mohamad Aziz.

Mashitah turut mempertahankan kenyataannya itu tidak menuding jari kepada mana-mana pihak, sebaliknya hanya menjawab pertanyaan Mohamed.

Sementara itu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dilaporkan semalam terkejut dan kecewa dengan kenyataan Nurul Izzah.

Sultan Sharafuddin, menurut Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa turut menyanggah pandangan orang Melayu beragama Islam mempunyai kebebasan memilih agama lain dan keluar Islam.

Tiada ulasan: