Ahad, 25 November 2012

Najib tak tolak kemungkinan PRU bulan depan

Wartawan Sinar Harian

Menjelang PRU 13
Menjelang PRU 13 
 
KUALA LUMPUR - Melewati musim  lembab dan cuaca tidak menentu mutakhir ini bukanlah satu penghalang untuk Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) diadakan bulan depan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kalau bulan Disember tak ada 'election', tahun depanlah. Melainkan kita buat bulan Disember ini. Kalau hujan atau banjir, boleh naik sampan, naik bot," katanya menjawab soalan adakah pilihan raya akan diadakan tahun depan atau membiarkan Parlimen bubar dengan sendirinya.

Persoalan itu diajukan kepada beliau dalam satu wawancara khas bersama pengarang-pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Utusan Malaysia baru-baru ini sempena Perhimpunan Agung Tahunan Umno 2012 minggu ini.

Mandat semasa Kerajaan Pusat yang dipimpin BN akan berakhir penghujung April depan.

Sebelum ini beberapa tarikh ramalan pilihan raya umum sudah pun tersasar.

Najib pada mulanya mencetuskan teka-teki apabila menyebut angka 11 begitu signifikan dalam hidupnya sehingga mengundang tafsiran PRU13 akan diadakan pada tanggal 11.11.11. Tarikh itu sudah jauh meninggalkan kita.

Ada pula yang menjangkakan Parlimen akan dibubarkan Jun tahun ini dengan mengambil kira musim cuti persekolahan, namun ramalan itu juga meleset.

Kemudian, timbul pula ura-ura kononnya pilihan raya akan diadakan sebelum Ramadan. Sekali lagi jangkaan itu silap.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof sebelum ini berkata, agensi itu sedia untuk melaksanakan pilihan raya pada bila-bila masa termasuk dalam keadaan cuaca yang buruk.

Bercakap dalam wawancara khas bersama Sinar Harian Online bulan lalu, Aziz berkata, SPR akan mencari tarikh  “paling cantik dalam keadaan yang buruk” jika perlu berbuat demikian.

Lima negeri dikatakan bakal terjejas teruk apabila angin monsun timur laut melanda iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Johor termasuk Sabah dan Sarawak.

Jabatan Pengairan dan Saliran memberi amaran kepada orang ramai, negara bakal berhadapan risiko banjir besar antara November hingga Mac tahun hadapan.

Tiada ulasan: