Khamis, 22 November 2012

Najib dan BN masih pinggirkan kaum India

Roketkini.com



IPOH:  Kepimpinan Datuk Seri Najib Razak lebih mementingkan usaha propaganda daripada melaksanakan janji-janji kerajaan kepada rakyat, khususnya masyarakat India di Malaysia.

Naib Pengerusi DAP, M. Kula Segaran berkata, sumbangan undi kaum India kepada Pakatan Rakyat pada PRU 2008 sepatutnya menyedarkan kerajaan BN, namun ia masih tinggal janji kosong.

Menurutnya, adalah lebih baik jika kaum India meneruskan semangat 2008 dengan memberi undi terbanyak kepada Pakatan Rakyat yang lebih prihatin kepada hak semua kaum dan agama.

Beliau berkata, janji Perdana Menteri mahu membina enam sekolah Tamil di Johor, Perak, Selangor dan Kedah masih dalam bentuk “janji” kerana belum ada sebarang butir tentang usaha tersebut.

“Saya telah bangkitkan perkara ini di Parlimen tetapi kerajaan BN tidak dapat memberi sebarang ajwapan konkrit tentang sekolah-sekolah baru ini,” ujarnya beliau.

Kula yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat sering membangkitkan isu ini dalam ceramah-ceramah beliau di seluruh negara dalam usaha menyedarkan masyarakat Malaysia tentang janji-janji kosong BN, khususnya kepada kaum India.

Menurut beliau lagi, kerajaan BN juga berjanji menyediakan 1,000 peluang pengajian di kolej matrikulasi kepada masyarakat India tetapi hanya 70 peratus sahaja yang diisi, menimbulkan persoalan tentang apa yang berlaku kepada 300 tempat lagi.

Mengenai kedudukan kaum India yang sudah lama dilahirkan di negara ini tetapi tidak diberikan kad pengenalan, Kula mempersoalkan mengapa kerajaan hanya mendaftarkan 6,590 permohonan sahaja.

“Mengapa kerajaan BN berdiam diri dengan berpuluh ribu lagi rakyat Malaysia keturunan India yang masih dinafikan hak kewarganegaraan mereka?” soal beliau.

Beliau turut mengkritik kenyataan Najib yang menjanjikan akan membatalkan projek kondominium di kawasan Kuil Batu Caves, Selangor jika BN menawan kembali Selangor dalam PRU akan datang kerana ia bersifat rasuah politik.

“Lagi pula, mengapa Najib tidak minta maaf kerana kerajaan BN yang meluluskan projek kondo itu dan mengapa beliau tidak memecat semua ahli majlis perbandaran BN (termasuk dari MIC) yang meluluskan projek tersebut,” katanya.

Menurut beliau, tindak-tanduk Najib serta BN membuktikan memang kerajaan BN tidak banyak berbuat apa-apa kepada masyarakat India dan membayangkan sikap BN yang akan terus meminggirkan hak kaum minoriti di negara ini. – Roketkini.com

Tiada ulasan: