Khamis, 1 November 2012

Menteri: Pakatan jadikan AES isu politik

SINAR HARIAN

Kong Cho Ha
Kong Cho Ha
 
SEPANG - Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, Pakatan Rakyat (PR) tidak seharusnya mempertaruhkan keselamatan rakyat demi kepentingan politik mereka dalam isu pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Katanya, bantahan pihak pembangkang terhadap pelaksaan AES itu hanya mainan politik mereka.

"Pakatan tidak seharusnya bermain politik dalam isu keselamatan jalan raya. Apabila kemalangan berlaku, mereka mempersoalkan mengapa kita tidak mengambil tindakan sewajarnya.

"Tetapi apabila kita melakukan sesuatu yang terbukti berjaya, mereka masih mahu bermain politik. Saya berpendapat ini sangat tidak adil kepada pengguna jalan raya yang bertanggungjawab," katanya kepada pemberita selepas menyambut penerbangan sulung Ethiopian Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, pembangkang yang mentadbir empat negeri iaitu Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Selangor bersetuju untuk menangguhkan pemasangan kamera AES yang akan merakam gambar pemandu yang memandu melebihi had laju dan melanggar lampu merah.

Guan Eng berkata, kelulusan pihak berkuasa negeri perlu diperoleh terlebih dahulu sebelum kamera AES dipasang.

Mengenai Pemuda Umno yang mahu agar kerajaan menangguhkan pelaksanaan AES, Cho Ha berkata: "Saya tidak fikir mereka (Pemuda Umno) membantah. Mereka meminta kami untuk menjelaskan beberapa perkara".

"Saya tidak fikir sesiapun terus membantah, malah pakatan (pemimpin) juga mahu kita memberi taklimat mengenai sistem berkenaan," tambah beliau.- Bernama

Tiada ulasan: