Isnin, 5 November 2012

Menteri Besar Akan Dedahkan Bukti Selangor Lebih Maju di Bawah PR Berbanding Umno-BN





SUBANG JAYA : Kerajaan Negeri akan membuat pembentangan dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) berhubung pencapaian Selangor masakini bagi menepis tuduhan Umno-BN bahawa negeri ini mengalami kemerosotan di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat (PR).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, perkembangan di Selangor ketika ini jauh lebih baik berbanding era Umno-BN terutama dari segi pencapaian ekonomi hingga muncul sebagai negeri utama dengan sumbangan terbesar kepada hasil pendapatan negara.

Contohnya kata Abdul Khalid, Selangor di bawah PR kini telah menyumbang 23 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK). Tetapi di bawah Khir Toyo, jumlah itu tidak sampai 20 peratus.
“Saya akan bentangkan pembangunan dari 2005 sampai 2007 (era Umno-BN) dan 2008 sampai 2012 (era PR) dalam Dewan Negeri Selangor untuk pengetahuan semua.

“Saya tak nak mengadakan perbincangan di kedai kopi tetapi saya akan bentangkan perangkaan sejak ia diumumkan sebagai negeri maju pada 2005.

“Saya rasa pencapaian sekarang lebih baik berbanding pada 2005,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Hakmilik Kepada Pembeli Rumah Teres Lestari Perdana di sini semalam.

Semalam bekas Menteri Besar, Dr Mohamad Khir Toyo mencabar Kerajaan Negeri membuat penilaian petunjuk status negeri maju serta menjawab dakwaan Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS) bahawa Selangor akan hilang status negeri maju jika gagalkan selesaikan masalah air.

Kerajaan Umno-BN dahulu mengumumkan bahawa Selangor mencapai status negeri maju pada tahun 2005.

Abdul Khalid berkata, pencapaian Selangor ditadbir Umno-BN pada 2005 hingga 2007 lebih teruk jika dibanding pada 2008 hingga kini semasa PR dan berharap pemimpin Umno-BN tidak membuka “pekung di dada”.

“Indikator yang paling penting sumbangan Selangor kepada ekonomi Malaysia, dari segi pelaburannya dan pendapatan perkapita Selangor berbanding dengan seluruh negeri di Malaysia.

“Selangor memberi sumbangan 23 pratus manakala negeri lain paling banyak sembilan peratus.

“Masa Khir Toyo dulu kurang dari 20 peratus. Boleh jadi dia tidak baca angka itu,” katanya.

Abdul Khalid menambah, Selangor kekal dengan pencapaian dari segi jumlah pelaburan tinggi dengan kedudukan membanggakan.

“Setengah negeri bila dapat pojek besar, dia naik nombor satu tetapi selepas itu jatuh tetapi Selangor tahapnya nombor satu, dua dan tiga maknanya konsisten,” katanya.

Tiada ulasan: