Selasa, 20 November 2012

MB Selangor nafi minta KSN ganti YDP MPS

NIZAM ZAIN

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini menafikan bahawa beliau menulis surat kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Dr Ali Hamsa supaya perkhidmatan Datuk Zainal Abidin A'ala sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) ditamatkan.

Abdul Khalid berkata, beliau hanya mengemukakan perancangan awal untuk mengenal pasti calon yang akan menggantikan Zainal Abidin sebelum Yang Dipertua MPS itu bersara tahun depan.

“Saya tidak tulis surat (kepada KSN) YDP Selayang perlu keluar. Saya tidak menulis begitu. Bukan notis 24 jam dan tiada kena mengena dengan projek,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ali yang mendakwa penamatan khidmat Zainal Abidin dibuat atas permohonan Kerjaaan Negeri.

Sebelum ini, Ali Hamsa dilaporkan berkata, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) melalui surat bertarikh 15 Oktober lalu memaklumkan bahawa Menteri Besar membuat permohonan untuk menukarkan Zainal Abidin dengan pegawai lain.

Dalam pada itu, Khalid turut mengakui, pihaknya ada membuat cadangan memilih bakal Datuk Bandar atau YDP di Selangor berdasarkan kehendaknya, namun perkara itu tiada kaitan dengan penamatan tugas Zainal Abidin.

"Saya hanya bercakap dengan pegawai perjawatan di Pejabat Setiausaha Kerajaan, bahawa Kerajaan Negeri ingin tentukan siapa yang akan jadi Datuk Bandar. Saya juga minta mereka senaraikan nama-nama yang boleh dicadangkan untuk jadi Datuk Bandar.

"Saya sendiri tidak tahu sama ada cadangan saya itu diluluskan atau tidak sehinggalah pengumuman (penamatan tugas Zainal Abidin) dibuat KSN. Ini bermakna mereka bersetuju dengan cadangan saya (Kerajaan Negeri boleh memilih bakal YDP dan Datuk Bandar sendiri),” katanya.

Sementara itu, Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Negeri, Ronnie Liu mendakwa penamatan tugas Zainal Abidin tidak logik dan beliau menyifatkan YDP MPS itu sebagai mangsa keadaan.

Tiada ulasan: