Oleh Nasrudin bin Hassan |
1. Negeri Pahang kelak akan menjadi satu lagi negeri pengeluar minyak di Malaysia dengan jumlah pengeluaran 17,500 sehingga 20,000 tong sehari bermula suku tahun ketiga 2014.
Jika diambil kira pengeluaran dari medan minyak Malay Basin yang sama, petroleum dari medan minyak luar pesisir (99 batu dari pantai) Pahang ini berkemungkinan dari jenis Tapis Blend yang sangat bermutu tinggi dengan telaga berada pada kedalaman 76 meter (blok Tapis di Terengganu pada kedalaman 64 meter, 118 batu dari pantai), kos pengeluaran dijangka rendah.
2. Jumlah pengeluaran di bawah purata 25,000 tong ini sebenarnya masih kecil tapi perlu diingatkan bahawa ini cuma jumlah permulaan. Potensi ekonominya tinggi mengambil kira jumlah simpanan yang dijangka terus meningkat melalui usaha eksplorasi minyak yang terus digiatkan.
3. Sebaiknya sebagai orang Islam, kita memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT atas pemberian rezeki dan nikmat-Nya kepada kita. Begitupun, pengumuman YAB Perdana Menteri bahawa hasil mahsul petroleum Pahang akan dibayar melalui mekanisme wang ehsan cukup mengejutkan dan mengundang persoalan perundangan dan politik.
4. Berdasarkan amalan terdahulu, pemberian wang ehsan bermakna hasil mahsul petroleum Pahang akan disalurkan ke agensi persekutuan di peringkat negeri dan bukannya ke akaun kerajaan negeri sepertimana amalan pembayaran wang tunai Petronas ke Terengganu pada tahun 1999-2003. Anggaran RM100 juta setahun sepatutnya memberi tambahan 20 peratus kepada perolehan negeri yang sekarang ini berada di dalam lingkungan RM530 juta setahun.
5. Dari segi perundangan, pemberian wang ehsan adalah bertikaian dengan Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan perjanjian yang ditandatangani di antara Petronas dan kerajaan negeri Pahang. Dari segi politik, kaedah ini menampakkan ketidakyakinan kerajaan pusat dan negeri Umno-BN untuk mengekalkan pemerintahan di Pahang selepas PRU-13, lantas memastikan awal-awal lagi agar hasil minyak tidak diberikan kepada kerajaan negeri.
6. Alasan kerajaan Pusat, sewaktu kes di Terengganu dahulu adalah kerana kerajaan negeri pimpinan PAS pada waktu itu tidak kompeten di dalam pengurusan wang tunai hasil petroleum negeri. Maka bolehlah diandaikan bahawa kerajaan negeri Pahang sekarang ini juga tidak kompeten?
7. Menteri Besar seharusnya merasa kecewa dengan perkembangan ini tetapi sebaliknya beliau terus sahaja mengucapkan terima kasih. Selayaknya, kerajaan Pusatlah yang seharusnya berterima kasih kepada Pahang kerana memberikan hasil tambahan kepada negara.
8. Fakta medan minyak Blok PM 307 Pahang ini juga menguatkan hujah tuntutan royalti petroleum kerajaan negeri Kelantan ke atas pengeluaran medan minyak yang berada pada kedudukan 93 batu dari pantai Kelantan. Apakah tidak cukup pembuktian bahawa pemerintah Umno-BN di Putrajaya mempolitikkan urusan sumber hasil petroleum negara dengan wewenangnya?
9. Kes-kes sebegini dipantau pula oleh masyarakat antarabangsa lalu menjatuhkan kredibiliti Petronas. Antara sebab kerajaan pusat Ottawa menghalang pembelian Petronas ke atas Progress Energy Canada adalah kerana wujud campur tangan kerajaan dalam Petronas.
10. Alasan ini jugalah yang digunakan oleh Fitch Ratings dalam memberi komentar negatif terhadap kebolehupayaan masa depan Petronas. Tindakan-tindakan kerajaan pusat Umno-BN khususnya pada era pentadbiran Datuk Seri Najib ini sebenarnya menghambat prestasi Petronas.
11. Dewan Pemuda PAS menggesa kerajaan negeri Pahang menunjukkan sikap tegas dalam mempertahankan hak negeri ke atas sumber hasil alamnya. Sikap ini harus dimulakan dengan menuntut ketelusan daripada Petronas dan Kerajaan Pusat dalam urusan pengeluaran minyak ini dan seterusnya membentangkan perinciannya dalam sidang Dun agar rakyat boleh membuat penilaian.
12. Pada asasnya, kita berandaian jumlah pembayaran royalti 5 peratus adalah lebih besar daripada jumlah wang ehsan yang ingin diberikan Kerajaan Pusat. Kita juga berharap agar kerajaan Pusat menghormati semangat federalisme yang telah dimetarai di bawah perlembagaan, akta dan perjanjian sedia ada dengan membuat pembayaranf royalti dan bukannya wang ehsan yang bunyinya cukup menjengkelkan.
Selamatkan Pahang dan Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan