Jumaat, 9 November 2012

Mat Yo: Bonus hak saya, Kafa boleh nilai

NOOR HAFIZA CHE ABDULLAH

Mat Yo
Hasrat Mat Yo (kanan) untuk sertai Johor bakal jadi kenyataan jika Kafa sedia melepaskannya.
 
"ITU hak siapa sebenarnya? Bagi saya sebagai presiden, dia boleh menilai." Demikian menurut penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Presiden Persatuan Bola Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa yang antara lain berkata, kemenangan tiga kejuaraan oleh The Red Warriors hanya akan diberikan kepada pemain yang setia dengan pasukan Kelantan.

Menurut Mat Yo, tiga kejuaraan yang diperolehi oleh Kelantan turut disumbangkan oleh beliau.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, imbuhan kepada pemain turut menjadi haknya.

"Saya pun tidak tahu macam mana sebab saya sendiri tidak tahu sama ada saya kekal atau berhijrah.

"Tapi, sekiranya saya berhijrah, Kafa tidak boleh melakukan sedemikian, itu hak saya," ujar Mat Yo.

Dalam laporan media hari ini, Annuar dipetik berkata, Kafa bersedia melepaskan Mat Yo sekiranya tawaran yang diperoleh berbaloi dengan nilainya.

Bagaimanapun beliau menegaskan, bonus kemenangan ketiga-tiga kejuaraan tersebut akan hanya diberikan kepada pemain yang setia kepada pasukan Kelantan.

"Bonus adalah hak pertimbangan presiden dan persatuan, jadi kita akan hanya memberikan bonus kepada pemain yang setia untuk terus beraksi dengan kita sahaja sebab itu sebahagian daripada semangat berpasukan," katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai prestasinya dalam dua perlawanan persahabatan baru-baru ini, Mat Yo yang juga pemain kebangsaan mengakui prestasi beliau belum mencapai kemuncaknya.

Bagaimanapun beliau menolak dakwaan yang mengatakan prestasinya terganggu ekoran isu perpindahan yang belum diselesaikan.

"Saya akui prestasi saya belum di tahap yang terbaik. Tapi ini bukan disebabkan oleh isu berhijrah ke Johor.

"Apa-apa pun, saya yakin dua tiga minggu lagi prestasi saya akan kembali ke tahap yang sebenar sebelum bermulanya saingan Piala Suzuki AFF nanti," katanya.

Mengulas lanjut dua kekalahan berturut-turut dialami skuad kebangsaan, Mat Yo bagimanapun menganggap mereka telah melakukan yang terbaik.

"Bagi saya pemain sudah melakukan yang terbaiki, cuma tiada rezeki.

"Tapi bagi saya, walaupun kalah, itu memberi kelebihan kepada kita untuk lebih bersedia andai kata bertemu mereka di suku akhir nanti," jelas beliau.

Tiada ulasan: